Skip to main
Logo Malaysiakini

MMA tidak merasakan denyut nadi dalam isu doktor dibuli

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengundang kemarahan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya yang dianggap hambar berhubung nasib doktor muda yang dibuli di hospital kerajaan.

Dalam bidasannya, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang (II) P Ramasamy menuduh persatuan itu tidak berhubungan dengan realiti keadaan.

Katanya, Presiden MMA Dr Koh Kar Chai tidak melihat gajah di dalam bilik itu.

“Jika MMA tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan untuk membetulkan keadaan di hospital kerajaan, maka ia seharus berdiam diri atau tidak mempedulikan perkara itu.

“Koh tidak sepatutnya membuka mulut untuk mendedahkan sikap tidak prihatin atau tidak ambil peduli MMA,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Semalam, presiden MMA itu mendakwa hanya terdapat segelintir kes buli yang serius di negara ini.

Tambahan pula, Dr Koh berhujah bahawa sumber tekanan seperti kata-kata kasar, junior yang berulang kali melakukan kesilapan atau berpotensi menyebabkan kemudaratan kepada pesakit mungkin menjadi antara faktor penyumbang mengapa ‘buli’ berlaku.

Dia juga mengulangi bahawa bekerja dalam bidang perubatan menghadapi banyak tekanan dan sehubungan itu, bantuan disediakan di pelbagai hospital sebagai unit khusus untuk mendapatkan khidmat kaunselor profesional dan pakar psikiatri.

'Mengejutkan'

Bagi Ramasamy, kenyataan presiden MMA itu mengejutkan kerana memberi anggapan bahawa persatuan itu tidak menyedari keseriusan tahap buli di hospital, yang didedahkan selepas seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di Pulau Pinang.

“Koh menyebut hanya sedikit kes serius seolah-olah cuba memperkecilkan tahap buli di hospital kerajaan.

“Fokus tidak seharusnya tertumpu kepada jumlah kes tetapi mengapa kerajaan boleh membenarkan buli berlaku walau apa pun justifikasinya,” tambahnya.

Sementara itu, Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) turut meluahkan bantahan dan menuduh MMA memperkecilkan perkara itu.

“Bagaimana dengan kes yang tidak begitu teruk? Adakah Kementerian Kesihatan membenarkannya? Jika begitu, apa tanda aras yang mengasingkan sesuatu kes daripada pembulian teruk atau sebaliknya?

“Dengan mengatakan hanya sebilangan kecil dibuli memperkecilkan masalah itu dan meremehkan trauma yang dialami orang lain.

“Contohnya, dalam minggu ini sahaja, kami menerima empat laporan gangguan dan serangan seksual oleh ‘Dr S’ yang turut dikongsi di Twitter.” kata persatuan itu.

[Baca berita penuh]