Bank Negara naikkan OPR 25 mata asas kepada 2.0 peratus
Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ketiganya tahun ini.
BNM dalam Kenyataan Dasar Monetari hari ini berkata, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan, masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.
Menurut bank pusat, pembukaan semula ekonomi global yang berterusan serta keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.
“Hal ini telah mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.
“Tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tertekan dan keadaan permintaan yang kukuh, khususnya di Amerika Syarikat.
BNM berkata, kesannya, beberapa bank dijangka membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas bagi mengurangkan risiko inflasi.
Prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung konflik di Ukraine, Covid-19, keadaan rantaian bekalan global, kejutan harga komoditi dan volatiliti pasaran kewangan.
Sementara itu, bank pusat berkata, bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh, didorong oleh permintaan dalam negeri yang lebih mantap dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan.
Pasaran pekerja terus disokong oleh kadar pengangguran yang lebih rendah, penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang lebih baik, katanya.
“Peralihan ke fasa endemik pada 1 April, 2022 akan memperkukuh kegiatan ekonomi, sejajar dengan pelonggaran sekatan selanjutnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.
“Aktiviti dan prospek pelaburan juga bertambah baik, disokong oleh realisasi projek berbilang tahun dan prospek pertumbuhan yang positif,” katanya.
Bagaimanapun, BNM menjelaskan risiko terhadap pertumbuhan masih wujud, termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan yang bertambah teruk dan perkembangan buruk berhubung Covid-19.
Inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus pada 2022.
“Memandangkan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada 2022.
“Bagaimanapun, tekanan harga menaik akan dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi,” katanya.
Sementara itu, prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai harga yang ditadbir.
Sepanjang krisis Covid-19, OPR dikurangkan sebanyak 125 mata asas secara kumulatif kepada paras terendah yang belum pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 1.75 peratus bagi memberikan sokongan terhadap ekonomi.
BNM berkata keadaan pandemik yang pertama kali berlaku sehingga memerlukan tindakan sedemikian, kini telah reda.
“Dengan pertumbuhan dalam negeri yang semakin kukuh, MPC mengambil keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodasi monetari.
“Pengurangan ini akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil,” tambahnya.
Rizab BNM berjumlah US$112.5 bilion
Sementara itu, BNM dalam kenyataan berasingan memaklumkan rizab antarabangsanya berjumlah US$112.5 bilion pada 29 April, 2022.
Bank pusat itu, berkata kedudukan rizab itu adalah memadai untuk membiayai 5.9 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing, yang berjumlah US$100 bilion pada 29 April, serta kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (US$6.0 bilion), emas (US$2.4 bilion), dan aset rizab lain (US$2.7 bilion).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai