Kanak-kanak perempuan usia 4 tahun didera guru taska
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai didera guru taskanya di sebuah taska di Tampoi, di Johor Bahru, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata satu laporan polis mengenai kejadian berkenaan telah dibuat oleh ibu kanak-kanak itu semalam susulan video kejadian dera itu tular menerusi media sosial.
Beliau berkata kanak-kanak itu yang merupakan seorang hiperaktif dan masalah lambat bercakap telah ditempatkan oleh ibu bapanya di taska berkenaan yang merupakan pusat jagaan untuk kanak-kanak normal dan kanak-kanak berkeperluan khas.
“Hasil siasatan melalui rakaman kamera litar bertutup (CCTV) taska tersebut mendapati guru berkenaan telah menarik telinga dan menekap bantal ke muka mangsa.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, di sini dan pegawai perubatan telah mengesahkan mangsa telah mengalami lebam atas telinga kanan dipercayai didera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rupiah berkata susulan itu, pihaknya menahan seorang wanita berusia 24 tahun, yang merupakan guru di taska berkenaan di tepi Jalan Putih, Skudai, di Johor Bahru malam tadi.
Beliau berkata wanita itu direman hingga 17 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563 122.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai