Pakar ekonomi jangka OPR naik sekali lagi dalam masa terdekat
Ruang bagi kenaikan selanjutnya Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas dalam masa terdekat masih wujud pada separuh kedua tahun ini, bergantung kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar inflasi dan keadaan makroekonomi yang bertambah baik.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan sekali lagi 25 mata asas (bps) adalah dijangkakan memandangkan bank pusat perlu lebih berhati-hati untuk menamatkan dasar monetari akomodatif.
“Berdasarkan kenyataan terkini daripada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat agak selesa dengan trajektori pertumbuhan ekonomi semasa.
“Walaupun bank pusat terus menyedari risiko penurunan, dasar monetari akomodatif yang berlebihan perlu ditamatkan. Jika tidak, ia boleh mengakibatkan masalah lain seperti ekonomi berkembang pada kadar yang tidak mampan, pengambilan risiko berlebihan akibat kadar deposit rendah, serta tahap keberhutangan yang tinggi dalam kalangan isi rumah dan perniagaan,” katanya kepada Bernama.
BNM menaikkan OPR sebanyak 25 bps kepada 2.0 hari ini, sekali gus menjadi langkah yang mengejutkan konsensus pasaran.
Kadar dasar Malaysia telah dikekalkan pada 1.75 peratus sejak Julai 2020, mencapai paras rendah selepas bank pusat menurunkannya sebanyak 125 bps sejak bermulanya pandemik Covid-19 pada awal tahun tersebut.
Ahli ekonomi OCBC Wellian Wiranto berkata lebih banyak peningkatan kadar faedah dijangka dilaksanakan “secara teratur dan berperingkat.”
Senario bagi OCBC Bank adalah kenaikan selanjutnya pada September, memberikan ruang kepada BNM untuk menilai sama ada risiko peningkatan ke atas inflasi atau risiko penurunan terhadap pertumbuhan, bakal menjadi halangan lebih besar sebelum membuat keputusan untuk meningkatkan lagi kadar.
“Realiti inflasi yang lebih tinggi merupakan sesuatu yang perlu diakui BNM, malah, di peringkat domestik dan menyatakan ‘bagaimana inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada 2022,’ akibat momentum ekonomi dan ‘tekanan kos yang berlarutan,’” kata Wellian.
Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank (MIDF Amanah) percaya tumpuan bagi penentuan dasar monetari BNM bertujuan memastikan pemulihan yang mampan dalam ekonomi tempatan.
“Dengan kadar inflasi yang begerak dalam lingkungan ramalan BNM, kami berpendapat kurangnya tekanan kepada bank pusat untuk melaksanakan dasar yang ketat secara agresif. Pada masa ini, kami menjangka satu lagi kenaikan kadar 25 bps kepada 2.25 peratus pada suku ketiga 2022,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai