Saat getir, pengorbanan jururawat di era pandemik
Bukan mudah menggalas tanggungjawab berkhidmat dalam sektor kesihatan, antaranya sebagai jururawat kerana kerjaya yang dianggap sungguh mulia itu menuntut pengorbanan luar biasa.
Selain pengorbanan masa dan tenaga dalam membantu doktor menguruskan pesakit yang menanggung pelbagai jenis penyakit, malah jururawat yang kerap berdamping dengan pesakit ibarat pemberi sinar serta harapan baru untuk mereka yakin pulih seperti sediakala.
Tugas jururawat juga semakin getir sepanjang dua tahun negara berdepan dengan pandemik Covid-19 sebelum fasa peralihan ke endemik pada 1 April 2022.
Bagi Ketua Jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Mazura Zulkeflee, 40, bertugas ketika negara bergelut memerangi penularan Covid-19 begitu mencabar dan sukar untuk dilupakan.
“Saya turut bertugas menjaga pesakit Covid-19 kerana kekangan petugas yang ada pada waktu itu. Sudah pasti kami semua berada dalam keadaan tertekan dan lesu upaya.
“Tidak dinafikan saya sendiri juga sentiasa menangis seorang diri ketika memandu dalam perjalanan ke tempat kerja," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut ibu kepada empat orang cahaya mata ini, antara tugas beliau setiap hari ialah perlu menghantar data pesakit Covid-19 yang berada di ICU.
“Rutin saya juga perlu membuat panggilan video kepada ahli keluarga pesakit yang menemui ajal akibat virus tidak berwajah itu tidak kira waktu sama ada pukul 2 atau 3 pagi.
“Sungguh meruntun jiwa saya apabila ketika panggilan video dibuat melihat anak-anak kecil pesakit yang masih tidak mengerti apa-apa bahawa insan penting dalam kehidupan mereka sudah pergi buat selama-lamanya," katanya masih menyimpan perasaan sebak.
Mazura yang mengakui pada mulanya memilih karier jururawat disebabkan gaji yang ditawarkan berkata, lama-kelamaan beliau mula jatuh cinta dengan kerjaya berkenaan.
Perasaan belas serta kasihan terhadap pesakit yang berada dalam jagaannya membuatkan beliau terus komited dengan tugas dan sentiasa mengharapkan agar seberat mana sekali pun penyakit yang ditanggung, mereka akan pulih.
Malah pengalaman menjaga seorang pesakit Covid-19 masih meruntun perasaannya sehingga kini. Pesakit wanita itu berusia dalam lingkungan 50-an dan sudah berkahwin sebelum itu boleh bercakap dan berbual elok namun akhirnya meninggal dunia.
Mayat penuhi ruang wad
Menurut Mazura, ketika Malaysia dilanda ledakan kes Covid-19 yang tinggi, ia turut memberi kesan hebat kepada penggunaan wad di hospital itu dengan menyaksikan katil di hospital penuh dengan pesakit yang dijangkiti virus corona (SARS-CoV-2) itu.
“Katil usah dicakap memang padat walaupun dalam wad ICU adalah antara wad yang mempunyai katil tambahan ketika itu.
“Ketika rumah mayat tiada lagi dapat menampung jenazah, banyak yang di wad ICU terpaksa ditangguh untuk dibawa turun ke rumah mayat.
"Jadi jenazah atau mayat sentiasa ada memenuhi ruang di wad ini.
“Melihatkan keadaan itu, memang sayu sangat," katanya yang sudah berkhidmat selama 15 tahun sebagai jururawat.
Beliau yang baru berkhidmat selama dua tahun di Hospital Sultanah Bahiyah sebelum itu bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lapan tahun dan Hospital Sultan Abdul Halim (Kedah) selama lima tahun.
Kongsi Mazura lagi, selain tempoh menunggu urusan jenazah untuk dihantar ke bilik mayat, petugas di wad berkenaan turut berdepan pelbagai cabaran lain.
Antaranya, urusan pemindahan pesakit dari hospital lama ke wad ICU selain pengunaan ambulans yang sentiasa penuh. Bilangan kemasukan pesakit ke wad turut meningkat.
Biarpun kini kes jangkitan Covid-19 semakin menurun, Mazura berkata, masyarakat tidak boleh alpa dan perlu sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) serta penjagaan kendiri selain kebersihan kerana Covid-19 adalah kuman yang tidak boleh dilihat.
“Jangan pentingkan diri sendiri. Jika anda ada gejala atau rasa tidak sihat, elaklah daripada berjumpa dengan orang lain. Cara ini boleh mengelakkan jangkitan sekiranya adan positif Covid-19.
“Pesanan saya walaupun kerajaan memberikan kelonggaran bagi pemakaian pelitup muka, seeloknya diteruskan sahaja kerana ia penting untuk memutuskan rantaian Covid-19 kerana virus ini memang sentiasa ada dengan kita,” katanya yang turut kehilangan sepupu perempuan berusia 40 tahun akibat Covid-19.
Sementara itu, Nuurul Asiah Majid,36, yang bertugas di wad ICU, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani berkata, beliau memilih kerjaya itu kerana desakan ibunya.
Bagaimanapun, setelah 12 tahun berkhidmat sebagai jururawat, beliau yang mempunyai seorang cahaya mata mengakui wujud dalam sanubarinya rasa komitmen yang menebal setelah menempuh pelbagai pengalaman serta bertemu pelbagai lapisan masyarakat.
Bercerita detik paling sukar bertugas di ICU ketika wabak Covid-19, Nuurul Asiah berkata tidak terjangkau dek fikirannya virus itu boleh meragut banyak nyawa di Malaysia juga di seluruh dunia.
"Sebagai jururawat yang berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19, sudah tentu keadaan lebih mencabar bagi mereka yang bertugas di ICU berbanding wad biasa.
“Kami perlu sentiasa bersedia dan peka terhadap setiap perubahan pada pesakit dari segi tanda vital pesakit seperti tekanan darah, pernafasan, bacaan jantung pada setiap minit dan jam memandangkan kebanyakan pesakit di ICU adalah kritikal.
"Sebarang kemungkinan boleh berlaku pada pesakit di ICU walaupun pada awal kemasukan pesakit stabil.
“Sekiranya terdapat sebarang perubahan, jururawat di ICU perlu bertindak tangkas dan cekap dalam memberikan perawatan berkesan kepada pesakit mengikut arahan doktor," katanya sambil menambah, di ICU juga terdapat pelbagai monitor, tiub, mesin untuk infusi ubatan pada seorang pesakit dan jururawat perlu tahu dan peka setiap kegunaan mesin serta monitor berkenaan.
Menurut Nuurul Asiah, beliau sama sekali tidak menyesal memilih kerjaya jururawat kerana disebalik tekanan serta pengorbanan, ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi semasa memulihkan pesakit yang ditempatkan di ICU adalah sesuatu yang tidak ternilai.
"Nikmat kepuasan sebenar adalah apabila melihat pesakit yang terbaring lesu pada awal kemasukan akhirnya sembuh dan dapat kembali ke pangkuan keluarga," katanya mengakui sering dibayangi rasa gusar yang menebal ketika memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19.
"Jujur saya katakan saya amat takut pada mulanya apabila ditugaskan untuk merawat pesakit Covid-19.
“Ditambah pula pada waktu itu kes semakin meningkat dan banyak wad biasa terpaksa dibuka menjadi wad Covid-19.
“Pada waktu itu juga cuti kami dibekukan kerana kekurangan staf. Emosi dan fizikal sangat letih pada waktu itu ditambah pula dengan pemakaian sut peralatan perlindungan diri (PPE) dalam jangka masa yang lama semasa bertugas,”katanya.
Beliau dan rakan-rakannya sentiasa berasa bersyukur kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab dalam membantu pesakit serta masyarakat.
“Setelah jumlah kes menunjukkan penurunan dan wad yang menempatkan pesakit Covid-19 banyak ditutup dan kes kritikal di ICU juga semakin berkurangan, saya kini berasa sedikit lega dan berharap agar kita dapat kembali hidup seperti dahulu," katanya.
Kuncinya kesabaran
Biarpun masyarakat sudah diberi pilihan dan kelonggaran dalam mencegah penularan Covid-19 namun ia tidak boleh dipandang sebelah mata kerana dunia masih kekal hidup bersama dengan virus ini.
Pada 27 April lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan beberapa kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 berkuatkuasa 1 Mei antaranya pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan selain tidak wajib mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis.
Kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 di negara ini adalah selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.
Dalam soal ini, jururawat Norlita Md Nor, 40, berharap agar masyarakat terus mengamalkan SOP yang ditetapkan kerajaan sebelum ini biarpun negara sudah dalam fasa peralihan ke endemik.
Masyarakat, kata beliau, perlu menghargai setiap penat lelah serta pengorbanan petugas kesihatan yang terus berjuang bagi memastikan rawatan kepada pesakit berada pada tahap optima.
Norlita yang juga petugas di wad ICU, Hospital Sultanah Bahiyah itu berkata, kesabaran adalah kunci utama yang perlu dimiliki oleh setiap jururawat.
"Ini kerana jururawat perlu mengawal emosi tidak kira masa kerana di dalam ICU, pesakit kebanyakan adalah yang berada pada tahap kritikal dan apa sahaja boleh berlaku secara tiba-tiba.
"Di wad ini, kami perlu pantau keadaan pesakit pada setiap jam. Jika ada yang tidak normal, kami perlu segera maklumkan kepada doktor," katanya yang telah 16 tahun bergelar jururawat.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai