Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Bagaimana menyelesaikan masalah kesesakan?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jalan raya semakin sesak hari demi hari. Ini tidak dapat dielakkan kerana manusia semakin bertambah dan membiak. Dan jika semua orang terpaksa menggunakan kereta peribadi, maka kesesakan jalan raya adalah nasib yang tidak dapat dielakkan meskipun kita berdoa sepanjang lailatur qadar. 

Permasalahan jalan raya yang sesak tidak dapat diselesaikan dengan kaedah metafizik. Kita tidak dapat berdoa di jalan raya yang sesak supaya jalan raya menjadi lengang. 

Musim perayaan – Hari Raya Aidilfitri – baru-baru ini menyaksikan kesesakan jalan raya yang sungguh luar biasa. Dengan pengumuman hari raya yang terkejut, ramai orang menjadi panik. Ramai orang hilang punca. Yang tidak panik dan tidak hilang punca, pastilah yang sememangnya tinggal di kampung. 

Mereka yang tinggal di bandar, ada yang sempat pulang beraya di kampung keesokannya. Ada yang memilih hari raya kedua, dan ada yang memilih hari raya ketiga. Selain terkejut dan tidak sempat pulang pada malam raya pertama, mereka menjangkakan jalan raya akan lebih lengang. Malangnya jangkaan mereka meleset, dan harapan mereka tinggal harapan. 

Ada yang kesesakan berjam-jam lamanya, walaupun hanya untuk sampai dari Kuala Lumpur-Tapah. Ada yang memakan masa 10-12 jam dari Melaka ke Tapah. Ada juga pada hari raya keempat, bas belum dapat bergerak dari Kuala Lumpur ke Ipoh. Bas yang sepatutnya sampai ke Ipoh jam 4.45 pagi, masih tersangkut di Kuala Lumpur pada jam enam pagi. 

Masalahnya bukan pada bas, tetapi kerana ramai orang di Malaysia menggunakan kereta peribadi, yang mengakibatkan kesesakan jalan raya yang sungguh luar biasa. Meskipun jalan-jalan baru makin banyak dibina, jalan raya tetap atau wajib sesak sekiranya permasalahan sepenting ini tidak dapat diselesaikan. 

Dalam hal pengangkutan awam ini, suka atau tidak suka, polisi kerajaan BN sebelum ini, terutamanya era Najib Razak lebih bagus dari polisi PH. Najib pada eranya mewujudkan banyak laluan baru di bandar. Suka atau tidak suka kita pada Najib, pada eranyalah dibangunkan begitu banyak MRT dan laluan-laluan baru LRT. Pada penghujung eranya juga, beliau cuba mewujudkan ECRL supaya penduduk-penduduk negeri Pantai Timur mendapat pengangkutan awam yang laju dan efektif. 

Malangnya polisi PH tentang pengangkutan awam sangat cacamarba, dangkal dan tidak serius. Khalid Samad sendiri selaku menteri wilayah tidak tahu bahawa selama ini MRT tiada pemandu. Bagaimana MP Shah Alam, dari parti Islam yang mendakwa mereka lebih progresif tidak tahu tentang perkembangan teknologi pengangkutan awam ini? Dan bagaimana beliau boleh dipertanggungjawabkan menjaga Wilayah yang lebih maju? 

Serangan bertubi-tubi ditala oleh pimpinan dan lasykar PH pada projek ECRL yang dikemukakan Najib Razak. Projek yang sepatutnya siap lebih awal tergendala selepas kemenangan PH. Penangguhan, pembatalan kemudian dimulakan kembali –era PN/MN– menunjukkan PH sendiri tidak tahu apa yang mereka mahu. Ia juga menunjukkan mereka tidak serius memajukan pengangkutan awam. 

Berbanding projek bangunan atau perlumbaan membina menara tertinggi baik era Mahathir Mohamad mahupun Najib, yang patut dikritik dan dikecam. Projek pengangkutan awam tidak patut dihalang. Manfaat menara tertinggi KLCC tidak dapat dirasai semua pihak. Sebaliknya pengangkutan awam seperti ECRL, ETS dapat dirasai oleh semua, baik yang berada di Sik, Kodiang, Baling, Machang Bubok, Tok Bali, Gambang dan Kemasik. 

Kritikan dan keangkuhan

Pengangkutan awam–yang cukainya dikutip dari rakyat bawahan di seluruh negara termasuk, desa, pedalaman, kampung–dapat dirasai oleh mereka. Jadi kritikan dan kecaman pimpinan dan lasykar PH terhadap projek ECRL sebegini memperlihatkan keangkuhan dan keengganan warga kota untuk memajukan atau melihat kemajuan berlaku di kawasan-kawasan dalam negeri yang belum maju. 

Kenyataan Maria Chin baru-baru ini tentang ‘kejayaan’ membantah pembinaan MRT, selain mendapat kecaman dan kritikan di Twitternya hanyalah menunjukkan kebebalan sendiri.

Seorang pemimpin PKR di Terengganu juga menunjukkan kebebalan serupa dalam menyerang ECRL. Pemimpin PH nampaknya seakan tiada modal lain dalam mengkritik BN. Iaitu mengkritik polisi yang baik untuk rakyat.

ETS dibangunkan pada era Najib Razak (2010). Penulis banyak kali menggunakan perkhidmatan ETS yang sangat laju ini. Dengan hanya RM38, penulis mengambil masa hanya dua jam 30 minit dari Batu Gajah ke KL Sentral. Jika naik kereta dalam keadaan kesesakan jalan raya baru-baru ini, berapa jam harus ditempuhi untuk sampai ke Kuala Lumpur? 

Bagaimana jika pulang ke kampung tanpa kereta? Bagaimana mahu bergerak?

Bayangkan jika kawasan rumah keluarga yang begitu sempit terpaksa bersesak-sesak dengan kereta adik-beradik. Ini belum dikira dengan jiran sebelah rumah lagi. Belum dikira jiran kampung yang sudah mempunyai kereta. Lebih mengejutkan jika kampung yang sebelum ini tidak pernah ada kesesakan jalan raya, tiba-tiba sesak.

Jadi alternatifnya sama ada berkongsi kereta–ini biasa dilakukan di China–atau dengan perkhidmatan Grab ataupun teksi. Ini akan memberikan manfaat ekonomi kepada pemandu-pemandu Grab di kawasan kampung atau pekan itu sendiri. Ataupun jika tidak selesa dengan Grab atau tidak selesa dengan bas kerana perlukan kereta, boleh gunakan khidmat atau sewa kereta di kawasan kampung, selama berada di kampung halaman. Atau boleh bersama-sama adik beradik di Kuala Lumpur menaiki kereta pulang bersama-sama, bukan satu kereta seorang atau dua orang. 

Ini antara punca yang menyesakkan jalan raya– apabila kereta yang begitu besar hanya digunakan oleh seorang atau dua orang sahaja. Saiz kereta yang begitu besar berkali-kali ganda dari saiz manusia itu yang memakan ruang dan menyesakkan jalan.

Selain faktor kesesakan jalan raya yang melibatkan pengangkutan awam, pentadbir di Malaysia harus diingatkan bahawa kesesakan juga wujud kerana pembangunan dan kemajuan hanya dipusatkan di bandar-bandar besar di Kuala Lumpur dan Selangor. 

Kerana itu kesesakan menjadi-jadi kerana anak-anak di perantauan ramai yang berada di Kuala Lumpur dan Selangor. Jika pentadbiran tidak pilih kasih, sepatutnya dibangunkanjuga  negeri-negeri lain tanpa mengira ideologi politik dan parti yang memerintah, nescaya kesesakan jalan raya tidak seteruk hari ini. Jadi faedahnya kepada rakyat terbanyak. 

Setiap negeri boleh menjadi maju dan makmur, tanpa rakyatnya harus berpindah keluar atau mencari nafkhah di luar dari negerinya. Jadi negerinya tidak miskin dan terpaksa bergantung kepada negeri yang lebih maju. Dan kesesakan juga dapat dielakkan. 


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan, penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.