Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir di Janda Baik sebab hujan terlampau lebat, sungai cetek

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hujan yang turun di Janda Baik pagi semalam “terlampau lebat” hingga mengakibatkan banjir kilat yang melanda 140 rumah di pusat peranginan di Pahang itu.

Ia merupakan banjir besar kedua yang menjejaskan kawasan itu dalam tempoh enam bulan.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak 19.5mm hujan turun dalam tempoh tiga jam - dua kali ganda kadar purata hujan yang biasanya kurang daripada 10mm.

Dia berkata ini ditambah pula dengan keadaan sungai yang sudah cetek akibat mendapan banjir di sana pada Disember lalu.

"Antara penyebab utama banjir di Janda Baik adalah kerana turunnya hujan yang terlampau lebat awal pagi, di kawasan hulu sehingga mengakibatkan berlakunya limpahan air dari sungai berhampiran.

"Ianya juga lanjutan daripada keadaan sungai yang telah cetek disebabkan banjir besar pada 17 Disember 2021 lalu," katanya pada satu kenyataan semalam.

Menteri besar memaklumkan kerajaan negeri juga segera menghulurkan bantuan makanan, kelengkapan dan kerja-kerja pembersihan kepada mangsa banjir.

"Saya berharap agar semua mangsa yang terlibat tabah mendepani ujian ini.

“InsyaAllah, kerajaan negeri akan membantu semua yang terkesan dengan sehabis baik," katanya.

'Tak pernah jadi dalam sejarah'

Kira-kira 450 orang penduduk keluar dari kediaman mereka selepas paras air di Sungai Sungai Benus, Sungai Sum-Sum dan Sungai Cheringin meningkat dengan cepat.

Ini selepas hujan turun berterusan di Kampung Sum-Sum, Kampung Lampin, Kampung Cheringin dan Kampung Pulau Santap mulai jam 3 pagi itu.

Beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan.

Pelakon Tiara Jaquelina (gambar, bawah) yang memiliki sebuah pusat peranginan di Janda Baik berkata pelbagai pusat peranginan di kawasan itu dipenuhi lumpur.

“Baru saja nak bernyawa selepas enam bulan tutup ketika pandemik, kena banjir kilat bulan Disember.Elok-elok kami sedang cuba untuk bangkit semula, terkena banjir kilat lagi.

“Sepanjang empat tahun kami beroperasi dan dalam sejarah di Janda Baik, nampaknya (banjir sebegitu) tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia sangat menyedihkan, mengecewakan dan menyusahkan," katanya pada hantaran di Instagram.

‘Lebih banyak cuaca ekstrem’

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan negara akan menyaksikan cuaca lebih ekstrem berikutan perubahan iklim.

Ini kerana suhu yang meningkat akan menyejatkan lebih banyak air ke atmosfera, menyebabkan hujan lebih lebat dan ribut lebih kuat.

Unjuran menunjukkan beberapa lokasi di Malaysia mungkin menghadapi peningkatan suhu yang tinggi dan akan terdapat penduduk yang terpaksa bertahan lebih daripada 240 hari setahun di dalam suhu melebihi 35 darjah celcius pada tahun 2050an.

“Pada 2090, sebahagian besar semenanjung Malaysia mungkin berdepan dengan masalah yang sama," kata Profesor Madya UPM Haliza Abdul Rahman.

Pada Disember tahun lalu, ribuan penduduk Lembah Klang telah dipindahkan berikutan hujan lebat selama beberapa hari, sehingga menyebabkan banjir dan 55 nyawa terkorban dalam banjir tersebut.

Haliza berkata sehingga Ogos 2018, 281 orang kehilangan nyawa akibat kejadian bencana alam, manakala lebih 3 juta terjejas dengan kos hampir AS$2 bilion (RM8.38 bilion).

Bencana banjir sahaja menyumbang kepada 70 peratus kerosakan yang dialami, antara tahun 1998 hingga 2018.

Ia melibatkan 770,000 orang dan meragut 148 nyawa. Ini termasuk kesan kerugian kepada ekonomi, di mana dianggarkan kira-kira RM5.8 bilion.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam satu catatan di laman Facebook berkata, kerajaan akan menghulurkan bantuan segera kepada 160 keluarga yang terjejas dalam kejadian banjir kilat itu.

Katanya, ini bagi membolehkan mangsa melakukan kerja pembersihan dan pembaikan.

Mohd Zuki yang turun padang ke lokasi terbabit hari ini bagi menyampaikan amanah daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob iaitu bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada mangsa berkata dia juga telah mengarahkan agensi terlibat untuk mencari penyelesaian holistik bagi mengelakkan bencana sama berulang di masa hadapan.

“Saya turut mengarahkan semua agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana untuk memberi penyelesaian yang holistik berkaitan musibah ini merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.

Ismail Sabri menerusi catatan di laman Facebook rasminya hari ini memaklumkan Mohd Zuki akan mewakili dirinya bagi menyampaikan bantuan kecemasan daripada kerajaan memandangkan dia kini di Amerika Syarikat untuk menghadiri tugas rasmi iaitu Sidang Kemuncak Khas Asean-Amerika Syarikat di Washington.