Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya masih ketua menteri Melaka - Sulaiman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali hari ini menafikan spekulasi yang mendakwa dia telah meletak jawatan daripada jawatan eksekutif tertinggi negeri itu.

Melalui satu kenyataan, yang pertama dikeluarkannya secara rasmi sejak khabar angin itu bermula minggu lalu, Sulaiman berkata dia masih ketua menteri negeri dan menganggap spekulasi itu sebagai cubaan untuk mengganggu kestabilan Melaka.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya masih ketua menteri Melaka dan akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan.

"Saya menafikan dakwaan bahawa saya telah meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Melaka. Ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan Kerajaan Negeri Melaka yang saya terajui selepas PRN Melaka ke-15.

"Isu sebegini tidak sepatutnya timbul terutamanya ketika Umno dan Barisan Nasional negeri Melaka sedang fokus memperkukuhkan usaha dan tenaga untuk merampas kembali kerusi parlimen yang telah hilang semasa PRU14 lalu.

"Keterbukaan saya mendengar pandangan ahli-ahli politik negeri Melaka bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya ia adalah kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik," katanya.

Sulaiman turut menyeru semua ahli Umno supaya fokus mengukuhkan parti dan memenangi pilihan raya umum akan datang daripada bermain politik.

Kenyataannya itu beberapa hari selepas khabar angin mula tersebar yang mendakwa dia terpaksa meletakkan jawatan ketua menteri.

Sebelum ini, khabar angin yang sama turut tersebar mendakwa terdapat langkah untuk menggulingkan Sulaiman oleh seorang lagi pemimpin parti, yang dikatakan sedang mengintai jawatan ketua menteri Melaka.

Walaupun dia tidak memegang sebarang jawatan kanan dalam Umno Melaka, pucuk pimpinan parti telah memilih Sulaiman untuk menerajui negeri itu semula selepas BN muncul pemenang pilihan raya negeri Melaka November tahun lepas.