Skip to main
Logo Malaysiakini

'Khairuddin patut fokus kawasan, bukan ajar PAS secara songsang'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai ‘satu provokasi.’

Ini selepas pemimpin PAS itu semalam seolah-olah menggambarkan Bersatu merupakan punca kepada hubungan renggang antara PAS dan Umno dalam kerjasama Muafakat Nasional (MN).

“Sebagai wakil rakyat bebas lebih baik MP Kuala Nerus fokus untuk menjaga kebajikan rakyat di kawasan parlimennya saja dari terus cuba untuk mengajar PAS ‘secara songsang’ ke arah satu pihak sahaja yang mungkin dianggap menguntungkan pihak tertentu sahaja,” kata Faiz kepada Malaysiakini.

Semalam, Khairuddin berkata kewujudan MN tidak sepatutnya digugat dengan kehadiran Bersatu ‘yang kecil bilangannya.’

Pada masa sama, dia meminta PAS mengakui bahawa sebelum ini Umno ada membuat permintaan bagi merundingkan pembahagian kerusi namun ia diabaikan.

Menafikan dakwaan Khairuddin itu, Faiz (gambar, bawah) menjelaskan tiada paksaan daripada Bersatu untuk PAS membuat keputusannya hala tuju politiknya.

“Bersatu tidak pernah sesekali menghalang, apatah lagi memberi ultimatum kepada PAS dalam hubungan parti tersebut dengan Umno kerana prinsip Bersatu ialah menghormati parti-parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Tiada paksaan dari Bersatu untuk PAS memilih hala tuju politiknya sendiri.

“Kami tidak dictate (tentukan) sama ada PAS perlu memilih kami atau Umno atau memilih kedua-duanya dalam waktu yang sama demi perpaduan ummah,” katanya.

Khairuddin, bekas pemimpin ulama PAS yang telah meninggalkan parti itu dilihat lebih cenderung mempertahankan MN berbanding pemimpin tertinggi PAS lain yang lebih mesra kepada Bersatu.

Untuk rekod, PAS memeterai piagam MN dengan Umno ketika kedua-dua parti terbabit menjadi pembangkang, namun menyertai Perikatan Nasional - yang ditunjangi Bersatu - selepas mereka menjadi kerajaan dengan menjatuhkan Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.