Skip to main
Logo Malaysiakini

KSN: Bantuan segera dihulur pada mangsa banjir kilat Janda Baik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan akan menghulurkan bantuan segera kepada 160 keluarga yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Janda Baik, Pahang bagi membolehkan mangsa melakukan kerja pembersihan dan pembaikan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki yang turun padang ke lokasi terbabit hari ini bagi menyampaikan amanah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada mangsa berkata beliau juga telah mengarahkan agensi terlibat untuk mencari penyelesaian holistik bagi mengelakkan bencana sama berulang di masa hadapan.

“Saya turut mengarahkan semua agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana untuk memberi penyelesaian yang holistik berkaitan musibah ini merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya dalam catatan di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Ismail Sabri menerusi catatan di laman Facebook rasminya hari ini memaklumkan Mohd Zuki akan mewakili beliau bagi menyampaikan bantuan kecemasan daripada kerajaan memandangkan beliau kini berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri tugas rasmi iaitu Sidang Kemuncak Khas Asean-Amerika Syarikat di Washington.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Sesi turun padang itu turut disertai wakil daripada beberapa agensi antaranya Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri Datuk Ruji Ubi, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara Datuk Dr Aminuddin Hassim, Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf serta Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh.

Mohd Zuki turut melahirkan ucapan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan penyelamat atas tindakan pantas yang diberikan bagi menyelamatkan mangsa terbabit.

“Sama-sama kita doakan agar bencana yang berlaku ini diangkat dan dihindarkan oleh Allah SWT,” katanya.

Hujan lebat berterusan sejak 3 pagi semalam telah mengakibatkan beberapa kawasan di Janda Baik dilanda banjir kilat dan tanah runtuh dengan lebih 140 rumah di Kampung Sum-Sum, Kampung Lampin, Kampung Cheringin dan Kampung Pulau Santap dinaiki air.

- Bernama