Skip to main
Logo Malaysiakini

287 keluarga terjejas ribut, angin kencang di Tanjung Karang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seramai 287 keluarga dipercayai terjejas dalam kejadian ribut dan angin kencang yang melanda kawasan Tanjung Karang awal pagi semalam yang telah merosakkan struktur kediaman dan tanaman padi, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata pihaknya sedang mendapatkan data terperinci mengenai mangsa yang terjejas untuk menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Saya sudah turun ke akar umbi dan peroleh jumlah mangsa yang terjejas serta akan bekerjasama dengan ketua-ketua kampung untuk lihat bentuk bantuan yang akan diberikan mengikut kemampuan termasuk bantuan bakul makanan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan banjir dari kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir di daerah Kuala Selangor hari ini.

“Di Tanjung Karang boleh dikatakan kejadian angin kencang dan ribut akan berlaku setiap tahun, namun tahun ini saya rasa agak serius kerana menjejaskan banyak rumah dan melibatkan hampir kesemua kampung di Tanjung Karang serta turut merosakkan tanaman padi,” katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata bantuan barangan keperluan asas dari kerajaan Persekutuan sebanyak RM2,500 untuk mangsa banjir di Selangor pada tahun lepas kini dalam proses pengagihan.

“Di Selangor seramai 127,269 ketua isi rumah (KIR) dikenal pasti terjejas akibat banjir pada tahun lepas dan di Kuala Selangor kita hampir selesai mengagihkan bantuan kepada 5,993 KIR manakala untuk kawasan seperti Klang dan Shah Alam mungkin mengambil masa kerana melibatkan jumlah mangsa yang lebih ramai,” katanya.

Katanya, bagi bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 dari kerajaan Persekutuan, sumbangan telah selesai diagihkan kepada semua KIR yang terlibat dalam bencana tersebut.

- Bernama