Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail, pemimpin Asean bertemu Joe Biden di Rumah Putih

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan pemimpin Asean di Rumah Putih pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Presiden Biden mengadakan pertemuan dengan para pemimpin Asean untuk Sidang Kemuncak Khas Asean-AS selama dua hari di Washington bermula Khamis.

Pertemuan bersejarah ini dilihat sebagai titik permulaan untuk membawa impak positif terhadap hubungan diplomatik, dagang dan ekonomi kepada Malaysia.

Ismail Sabri turut menekankan kepaksian Asean dalam kerjasama Asean-AS di sidang kemuncak itu, selain berharap semoga sidang akan menjadi landasan strategik bagi Adean dan AS mengkaji serta meneroka bidang kerjasama pragmatik bagi memperkukuh kerjasama sedia ada.

Ismail Sabri menyertai Biden dan pemimpin Asean untuk bergambar berkumpulan di perkarangan Rumah Putih.

Mereka kemudiannya menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Biden di situ.

Sidang kemuncak khas dengan pemimpin negara Asia Tenggara itu kali kedua dianjurkan oleh Presiden AS di negara ini.

Pada Februari 2016, presiden ketika itu, Barack Obama mengalu-alukan pemimpin Asean di Sunnylands, California.

Pemimpin Asean lain yang menghadiri pertemuan kali ini ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.

Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-Cha, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Laos Dr Phankham Viphavanh juga menghadirinya.

Filipina yang kini mengadakan pilihan raya umum diwakili Setiausaha Luar Teodoro Locsin Jr.

Tiada wakil dari Myanmar, negara di bawah pemerintahan junta berikutan rampasan kuasa 1 Feb 2021.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pentadbiran Biden menetapkan sebagai keutamaan untuk menjadi rakan yang kukuh dan boleh dipercayai di Asia Tenggara.

Pada Sidang Kemuncak Asean-AS secara maya pada Oktober tahun lepas, Biden mengumumkan AS$102 juta dalam inisiatif baru untuk mengembangkan penglibatannya dengan Asean.

Ia meliputi pemulihan Covid-19, kesihatan, keselamatan, menangani krisis perubahan iklim, merangsang pertumbuhan ekonomi yang meluas dan meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat.

-Bernama