Skip to main
Logo Malaysiakini

RUU antilompat parti: Kerangka hampir selesai, draf pertama minggu depan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) berkenaan antilompat parti telah mencapai konsensus berhubung "hampir semua" perkara dalam kerangka rang undang-undang (RUU) tersebut.

Maka Pejabat Peguam Negara akan menyediakan RUU tersebut untuk diteliti JPKP apabila ia bermesyuarat pada 19 Mei ini.

"Draf RUU akan disediakan...akan merangkumkan semua keputusan dalam kerangka dan takrifan (dalam RUU) yang diperhalusi yang diputuskan semalam," kata menteri di jabatan perdana menteri merangkap pengerusi jawatankuasa itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Selain JPKP, RUU itu juga akan disemak jawatankuasa pemandu transformasi dan kestabilan politik.

Jawatankuasa pemandu ini memantau pelaksanaan perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan PH.

Perlu dapat lampu hijau kabinet

Walaupun jika JPKP setuju dengan draf RUU itu minggu depan, ia masih perlu mendapat lampu hijau kabinet sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

Berkenaan aspek ketelusan, Wan Junaidi memberi jaminan semua mesyuarat JPKP akan direkodkan ke dalam hansard dan dibentang di Dewan Rakyat.

Setakat ini, dia hanya memaklumkan dua kemas kini menerusi kenyataan media berkenaan perkembangan JPKP. Tiada anggota jawatankuasa lain yang telah mendedahkan perincian berkenaan mesyuarat kerana dihalang berbuat demikian mengikut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Bantahan berkenaan kerangka RUU sebelum ini menyebabkan kabinet pada 6 April lalu untuk meminda RUU asal yang sepatutnya dibentangkan pada 11 April lalu.

Maka jaminan Wan Junaidi berkenaan konsensus terhadap "hampir semua" perkara yang dicapai boleh dilihat sebagai tanda RUU itu kian hampir menjadi kenyataan.

[Baca berita asal]