Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ribuan hilang kerja jika industri kenderaan mikromobiliti ditutup'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pembekal kenderaan ringan jenis mikromobiliti membantah keputusan kerajaan untuk mengharamkan penggunaannya di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Star Wheels, Eric Lee, berkata industri berkenaan berdepan dengan risiko gulung tikar jika kerajaan terus mengharamkannya.

Katanya, bukan saja perniagaan gulung tikar, malah ribuan bakal kehilangan pekerjaan jika industri ini ditutup begitu saja.

"Industri ini telah membuka peluang pekerjaan yang banyak sebenarnya, daripada pembekal sehingga wujudnya penyedia perkhidmatan bagi membaik pulih kenderaaan ini.

Eric Lee

"Kami berdepan risiko gulung tikar jika ini terus berlanjutan tanpa ada tindakan proaktif daripada pihak kerajaan untuk berbincang dengan pemain industri.

"Kerajaan sepatutnya menyediakan garis panduan dan bukannya mengharamkan terus," katanya kepada Malaysiakini.

‘Macam jual dadah’

Selain itu, jelas mereka, langkah diambil kerajaan bukan saja terkebelakang, malah telah mengakibatkan pemain industri mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit.

Pemilik Jerung Wheels, Mohammad Mubashar Aftab, berkata pihaknya berdepan dengan kerugian apabila pelanggan membatalkan tempahan pembalian kenderaan mikromobiliti itu.

Mohammad Mubashar Aftab (kanan) dan Mohd Asri Ghazwan.

"Sekarang orang ramai mula takut dan tidak berani untuk membelinya, bahkan mereka melihat ini sebagai satu benda haram.

"Dan kami sebagai penjual pula sudah jadi macam penjual dadah di kawasan umum. Tindakan kerajaan mengumumkan pengharaman secara drastik memberi perspektif negatif.

"Sepatutnya kajian mendalam dilakukan terlebih dulu sebelum mengharamkannya, sebab kebanyak pemilik kenderaan ini telah diajar supaya menekankan aspek keselamatan dan undang-undang di jalan raya," katanya.

Bagi Mohd Asri Ghazwan yang juga rakan kongsi Mohammad Mubashar di Jerung Wheels, penghantar makanan juga terjejas dengan keputusan kerajaan.

"Ramai anak muda yang bekerja sebagai penghantar makanan di dalam kawasan bandar menggunakan kenderaaan ini kerana ia menjimatkan kos dan fleksible berbanding kenderaaan lain.

"Jadi, kerajaan perlu mengambil kira kepentingan ramai dan pihak berkuasa sepatutnya berbincang dengan pihak kami sebelum membuat sebarang keputusan," katanya lagi

Pada 26 Apr lalu kerajaan mengharamkan penggunaan tiga jenis kenderaan mikromobiliti di jalan raya iaitu, Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, berkata Moped adalah kenderaan yang dipasang dengan dua atau tiga roda dan dipacu oleh sumber elektrik dengan kelajuannya tidak melebihi 50 kilometer sejam (km/j).

PMD dan PMA pula adalah kenderaan yang dipacu oleh kuasa manusia atau elektrik dengan kelajuan tidak melebihi 25 km/j seperti skuter berkuasa elektrik dan kenderaan bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan.

Wee berkata larangan terhadap tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 yang berkuat kuasa 17 Dis 2021.