Skip to main
Logo Malaysiakini

Naib presiden Upko beri gambaran sedia cabar jawatan presiden

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Wilfred Madius Tangau mungkin dicabar naib presiden Ewon Benedick yang mengumumkan semalam bahawa dia bersedia jika ahli mahukannya.

Upko kini bersama Pakatan Harapan (PH) tetapi mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang lalu, dengan hanya seorang daripada 12 calon menang. Pemenang tunggal itu ialah Ewon bagi kerusi Kadamaian.

“Saya tidak mencabar kepimpinan sesiapa tetapi saya ingin menawarkan rekod kepimpinan saya sendiri di Kadamaian kepada ahli parti yang lain.

"Jika mereka merasakan rekod ini boleh dijadikan inspirasi untuk parti, dan jika mereka merasakan masanya sudah tiba, saya bersedia untuk menyahut cabaran itu," kata Ewon seperti dipetik Borneo Post.

Presiden United Progressive Kinabalu Organization Wilfred Madius Tangau

Madius dikatakan berada di UK dan masih belum memberi respons kepada Malaysiakini.

Wilfred Madius Tangau

Ewon berkata Upko tidak akan dapat bersaing dengan GRS yang memerintah tanpa inspirasi baru dan memberi amaran bahawa parti itu boleh menghadapi perpecahan.

Madius, yang merupakan ahli parlimen Tuaran, telah mengetuai Upko sejak persaraan bekas ketua menteri Bernard Dompok.

Pada PRU 2018, Upko bertanding sebagai sebahagian daripada gabungan BN tetapi berpaling tadah untuk menyokong Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dalam perebutan kuasa menentang penyandang Musa Aman.

Nasib Upko sejak itu merudum dengan kejatuhan kerajaan PH di peringkat persekutuan dan kekalahan Warisan di PRN.

Pemilihan kepimpinan Upko dijangka akan diadakan pada Oktober tahun ini.