AKSB nafi telaga jejari gagal seperti didakwa Husam
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan dakwaan Pengerusi Save Kelantan, Husam Musa mengenai kegagalan Telaga Jejari dan pelaksanaan Loji Rawatan Air (LRA).
Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Pengurus Besar AKSB berkata dakwaan itu tidak benar kerana telaga jejari untuk Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong berjaya beroperasi pada kadar reka bentuk 17 juta liter sehari (JLH).
"Telaga jejari LRA Wakaf Bharu dan LRA Kampung Chap masing-masing beroperasi pada kadar 24 JLH dan 11 JLH. Bagi meningkatkan pengeluaran, air mentah tambahan diperolehi dari telaga tiub dan bukannya air sungai sebagaimana yang didakwa.
"Sementara itu, terdapat dua telaga jejari untuk LRA Kampung Telok dan berjaya beroperasi pada kadar reka bentuk 32 JLH dan kapasitinya adalah 30 JLH, tetapi pada masa ini hanya berupaya menghasilkan air terawat yang menepati piawai Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak 10 JLH sahaja," kata AKSB dalam kenyataan media, hari ini.
Kenyataan itu susulan dakwaan Husam dalam satu dialog baru-baru ini yang mendakwa sistem telaga jejari berkali-kali gagal berfungsi selain mempertikaikan kualiti air yang dibekalkan.
Selain itu Husam yang juga bekas exco kerajaan Kelantan berkata, masalah tersebut berpunca daripada ketidakupayaan exco dan AKSB selain melantik kontraktor secara rundingan terus.
Mengulas perkara itu, AKSB berkata dakwaan Husam bahawa Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Azami Mohd Nor tiada kepakaran juga sebagai tidak berasas.
"Exco tidak memerlukan kepakaran dalam bidang air untuk mengetuai Jawatankuasa berkaitan air.
"Yang penting adalah YB Exco melantik mereka yang mempunyai kepakaran untuk mengurus AKSB dan perkara ini telah terjadi apabila Pengurus Besar AKSB yang baru telah dilantik pada pertengahan 2019," katanya.
Sementara itu AKSB berkata, tuduhan terhadap cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (Taps) di Labok, Machang sebagai mahu menghabiskan dana dan tidak boleh menyelesaikan masalah air juga tidak benar.
Ini kerana katanya, ia dibina untuk mengumpul air sungai sebagai sumber air mentah untuk LRA serta tebatan banjir.
Selain itu jelas AKSB, dengan adanya Taps, perkhidmatan bekalan air terawat AKSB akan dapat ditingkatkan daripada aspek jaminan kuantiti dan tekanan air serta akan meningkatkan liputan bekalan air terawat di Kelantan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai