Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tak pernah ada usaha minta Exco, Adun tukar KM Melaka'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Exco Melaka Dr Akmal Saleh berkata dakwaan penukaran Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali tidak pernah dibincangkan di peringkat exco dan Adun.

"Tidak pernah sekelumitpun sepanjang saya menjadi exco kerajaan negeri ada usaha yang meminta kami untuk menukar kepimpinan kerajaan negeri dari mana-mana pihak.

"Namun Kami tidak pasti jika ia dibincangkan bersama dengan ketua bahagian dan pemangku ketua bahagian yang bukan wakil rakyat untuk menukarkan kepimpinan ketua menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyifatkan dakwaan Sulaiman diminta meletakkan jawatan sebagai tidak berasas, Akmal menegaskan ketua menteri dipilih oleh Adun dan bukannya oleh mana-mana pihak termasuk ketua bahagian parti politik.

Pada 7 Mei lalu, timbul dakwaan di media sosial bahawa Sulaiman dipaksa menandatangani surat perletakan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

Namun dakwaan itu dinafikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad yang berkata Sulaiman akan kekal memegang jawatan itu sehingga tamat penggal.

Akmal yang juga Adun Merlimau turut mengkritik mana-mana pihak yang menurutnya cuba melaga-lagakan Sulaiman dengan Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.

"Jika ia tetap berterusan,saya mohon agar lembaga disiplin parti untuk mengambil tindakan ke atas 'si kitol' yang memecah belahkan Umno negeri melaka ini," katanya lagi.

Sulaiman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 21 Nov tahun lepas, selepas BN menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik ke jawatan itu selepas menggantikan Adly Zahari susulan kejatuhan pentadbiran PH negeri pada Mei 2018.