Skip to main
Logo Malaysiakini

Adakah Tajuddin miliki kriteria sebagai duta, tanya DAP

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

DAP hari ini meminta kerajaan menjelaskan kewajaran melantik Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Malaysia ke Indonesia.

Penolong Setiausaha Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto, berkata pelantikan ahli parlimen Pasir Salak itu membingungkan ramai orang sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kriteria yang perlu ada pada individu yang dipilih membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Sudah tentu seseorang yang akan menjadi wajah Malaysia di Indonesia perlu memiliki merit, membawa dasar kerajaan, jawatan dan piawaian kerajaan sebagai peluang kepada kekayaan yang boleh ditawarkan oleh Malaysia.

“Adakah Tajuddin mempunyai apa yang diperlukan sebagai duta Malaysia ke Indonesia?” katanya dalam kenyataan yang ditujukan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah hari ini.

Ujar Kasthuri, sepanjang dua penggal menjadi ahli parlimen, dia telah menyaksikan bagaimana tingkah laku pemimpin Umno berkenaan berurusan dengan orang lain.

Antara insiden yang dibangkitkan Kasthuri ialah bagaimana Tajuddin membuat kenyataan lucah dan seksis terhadap Teresa Kok (Seputeh), mencetuskan provokasi terhadap Khalid Samad (Shah Alam) untuk bertumbuk di luar Dewan Rakyat dan memperlekehkan serta menghina sesama ahli parlimen.

“Selama bertahun-tahun, Tajuddin tidak menunjukkan dia bersikap lemah lembut dan sesuai dengan gelaran 'Yang Berhormat' sebaliknya lebih menjadi provokator yang kurang ajar, biadab, perkauman dan seksis sama ada di dalam atau luar Parlimen ,” katanya.

Orang politik kembali jadi diplomat

Menurut ahli parlimen Batu Kawan itu lagi, Tajuddin bukanlah calon terbaik untuk menyandang tugas sebagai diplomat negara dan sudah tentu ada calon yang lebih baik dalam kerajaan Keluarga Malaysia Ismail Sabri.

Katanya mereka termasuk diplomat dan pegawai kerajaan yang memiliki pengetahuan, pengalaman dan beradab untuk menjadi wajah serta imej Malaysia di peringkat global.

Menurut laman web Kementerian Luar, antara tugasan seorang diplomat di luar negara ialah mengekalkan hubungan baik dengan negara luar dan organisasi antarabangsa seperti PBB dan organnya, Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dengan tugas sebegitu, kata Kasthuri, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana Tajuddin mampu menjalankan tugasnya sebagai duta.

“Ismail Sabri dan Saifuddin mesti memberikan justifikasi kepada semua rakyat Malaysia mengapa Tajuddin yang dipilih berbanding ramai lagi calon yang lebih berpengalaman dan berkelayakan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah cukup menderita dengan satu 'keaiban negara' dan janganlah kita tambah lagi derita yang ada dengan pelantikan Tajuddin," katanya.

Gambar fail

Tajuddin semalam mengesahkan pelantikannya sebagai Duta Malaysia ke Indonesia seterusnya yang berpangkalan di Jakarta.

“Memang benar,” kata pemimpin Umno itu dalam pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Pelantikan Tajuddin bagi menggantikan Zainal Abidin Bakar akan menyaksikan ahli politik kembali dipilih menggalas tugas sebagai duta Malaysia di luar negara.

Zainal Abidin dilantik pada 2018 semasa kerajaan ditadbir Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan bekas ahli parlimen PKR yang kemudian menyertai Umno, Zahrain Mohd Hashim, yang berkhidmat sejak 2013.

Sebelum pengesahan Tajuddin, agensi berita Indonesia, Antara, melaporkan mengenai pelantikan yang mula diperkatakan sejak Okt lalu, diikuti kehadiran bekas pengarah pilihan raya Umno Malaysia itu semasa lawatan rasmi Saifuddin ke Jakarta pada Nov.

Ahli politik berusia 74 tahun itu sebelum ini dipecat daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana berikutan kenyataan yang dianggap tidak sensitif selepas insiden perlanggaran LRT di Kuala Lumpur yang menyebabkan berpuluh-puluh penumpang cedera.

Awal bulan lepas, bekas diplomat Dennis Ignatius menyatakan bahawa kekosongan jawatan yang tidak diisi untuk jawatan tertinggi dalam perwakilan Malaysia di luar negara telah menimbulkan persoalan mengenai hal ehwal domestik di Kementerian Luar.