MP: Adakah khidmat atas talian kerajaan masih selamat?
Anggota parlimen Kluang Wong Shu Qi menyifatkan dakwaan kebocoran data pengguna daripada pangkalan data MyIdentity milik kerajaan sebagai mengejutkan.
“Persoalan mendesak sekarang, jika kebocoran ini benar, berapa ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa dakwaan kecurian identiti tanpa mereka sedar?
“Adakah perkhidmatan atas talian kerajaan masih selamat jika kerajaan tidak dapat menjaga data peribadi kita,” soalnya.
Malaysiakini petang ini melaporkan jutaan rekod MyIdentity didakwa dijual di atas talian dengan harga bermula dari bermula daripada AS$10,000 (RM43,950).
Sebagai bukti, penjual memasukkan “sampel” rekod didakwa milik Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan sebahagian maklumat, iaitu nombor telefon dan alamat.Ini kali kedua data peribadi dari MyIdentity dijual sejak akhir tahun lepas.
Hamzah, yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), berkata tiada kebocoran daripada jabatan itu.
Pemalsuan, pencurian identiti
Dalam kenyataan hari ini, Wong berkata penafian Hamzah tahun lepas dibuat tanpa sebarang jaminan.
Katanya, penjual malah menggunakan data Hamzah sendiri bagi membuktikan dia memiliki maklumat itu.
“Kita perlu jaminan lebih dan tindakan lebih tegas daripada pihak kerajaan,” kata wakil rakyat DAP itu.
Sementara itu, ketua biro media sosial DAP Syahredzan Johan pula berkata, jika jualan itu benar, ia mendedahkan rakyat Malaysia kepada pemalsuan dan pencurian identiti.
“Ia membangkitkan isu keselamatan dan integriti data yang dipegang oleh agensi-agensi kerajaan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai