Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedah akan perangi kartel padi jika ada, kata MB

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Kedah akan memerangi kewujudan kartel dalam industri padi di negeri itu, sekiranya wujud, dalam memastikan pengeluaran hasil padi dapat ditingkatkan selain membela nasib para petani.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata isu kemungkinan wujudnya kartel padi itu timbul apabila model penanaman padi yang diusahakan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mampu mencapai hasil 7.8 tan sehektar, berbanding purata hasil padi sedia ada sebanyak enam tan sehektar.

Katanya LZNK telah mencapai hasil sebanyak 7.8 tan itu dalam tuaian pertama sawah padi berkeluasan kira-kira 30 hektar yang diusahakan agensi itu sendiri.

“Kenapa kita dapat enam tan sehektar sahaja tetapi LZNK dapat capai jumlah yang lebih tinggi?

“Mesti ada sebab mengapa ia berlaku kerana kedua-dua menggunakan sumber, benih, pengairan dan mesin yang sama,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata Kedah juga ketinggalan berbanding Selangor yang mampu mengeluarkan antara sembilan hingga 12 tan sehektar.

Dia berkata sekiranya wujud kartel padi, ia perlu dihapuskan dan diperangi habis-habisan, selain mahu semua pihak yang terlibat dalam industri padi supaya bersikap jujur.

“Saya berasa ragu dengan rangkaian dalam industri ini yang berkemungkinan tidak jujur dalam mana-mana peringkat.

“Jadi, kita akan guna model LZNK ini untuk mencabar sistem yang sedia ada di negeri ini dan mahu lihat penghasilan padi masih di tahap yang sama atau tidak,” katanya.

Katanya, memandangkan krisis makanan dijangka berlaku pada 2025, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berkaitan telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera berkaitan isu pengeluaran padi di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk membaik pulih runtuhan ban di Terusan Tengah di Struktur Alor Limpah, Sungai Santap, Pelubang dekat Jitra, yang akan mengambil masa selama 14 hari.

“Cuma kena tengok sebab ada tiga tempat air melimpah. Kita telah minta jurutera Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk tengok dan mereka akan buat pemantauan sepanjang sungai kerana banyak kawasan yang hujan jadi tanah lembut dan kita risau berlaku runtuhan lagi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari 9 Mei lepas, ban itu runtuh hingga menyebabkan air mentah di terusan berkenaan berkurangan, sekali gus mengakibatkan lebih 30,000 pemegang akaun Syarikat Air Darul Aman (Sada) mengalami masalah gangguan bekalan air.

-Bernama