Salahuddin: Langkah batal AP bahan makanan bersifat populis, tergesa-gesa
Langkah kerajaan memansuhkan permit import (AP) untuk bahan makanan dianggap dibuat tergesa-gesa dan mendedahkan pihak tertentu dalam negara dengan risiko kerugian.
Bekas menteri pertanian Salahuddin Ayub berkata sebelum langkah itu diambil, kerajaan sepatutnya mewujudkan jawatankuasa khas yang membabitkan pelbagai kementerian untuk menjalankan kajian.
Walaupun mengakui langkah berkenaan mungkin boleh mengatasi masalah kekurangan bahan makanan dalam negara, Salahuddin berkata, tanpa perancangan yang betul ia juga tidak memberikan ruang kepada pemain tempatan serta petani bersaing dengan seimbang.
"Ketika ini ada pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh petani dan pengeluar tempatan untuk membolehkan mereka nanti bersaing dengan lambakan bahan makanan yang diimport.
"Tanpa penyesuaian yang tepat, akhirnya nanti petani tempatanlah yang akan menjadi mangsa. Misalnya mereka tidak dapat menjual produk masing-masing yang terpaksa dijual pada harga lebih tinggi," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan setuju untuk tidak lagi mengenakan AP bagi sebarang bahan makanan yang dibawa masuk dari negara luar.
Ketetapan itu, katanya berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Ismail Sabri keputusan itu dicapai pada mesyuarat kabinet semalam dan ia membolehkan semua pihak mengimport sebarang bahan makanan ke negara ini.
Bagaimanapun butiran lanjut mengenai AP berkenaan hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) kemudian.
Kata Salahuddin antara faktor yang memberi kesan kepada penghasilan pemain industri tempatan ialah harga baja dan racun yang semakin meningkat sekarang.
Menurutnya, sekiranya berlaku lambakan bahan mentah dari luar yang menyebabkan harga sesuatu barang itu rendah, pemain industri tempatan - yang menanggung kos tinggi - tidak akan mampu bersaing.
"Situasi ini pernah berlaku ketika saya menjadi menteri pertanian sebelum ini apabila berlaku lambakan cili import dan petani tempatan berdepan kesukaran untuk bersaing," katanya.
Timbalan presiden Amanah itu menambah sebelum kelonggaran diberikan, kerajaan perlu memastikan keadaan sektor pertanian dalam negara berada dalam keadaan stabil seperti yang dilakukan banyak negara lain.
"Saya lihat keputusan yang dilakukan kerajaan sekarang ini bersifat populis dan mengabaikan keperluan pemain tempatan, termasuk kalangan petani," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai