Penghantar makanan mengaku salah hantar gambar lucah
Seorang penghantar makanan e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membuat dan menghantar gambar serta video lucah menggunakan aplikasi Instagram, dua tahun lepas.
Muhammad Khair Ma'ani, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mahkamah menetapkan 19 Jun depan untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.
Lelaki itu didakwa menggunakan aplikasi Instagram dengan nama mkdaniel__ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar dan video lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah di sini, kira-kira 8.50 pagi, 25 Jan 2020.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai