Skip to main
Logo Malaysiakini

Bala mohon batal warta LTTE pengganas di mahkamah persekutuan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pemandu teksi memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk memulakan rayuan bagi membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas di Malaysia.

V Balamurugan memfailkan permohonan kebenaran merayu di pejabat pendaftar mahkamah persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 13 Mei lalu.

Pemandu teksi itu sebelum ini gagal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan dalam usahanya mengeluarkan LTTE daripada senarai pertubuhan haram.

Balamurugan, 40, adalah antara 12 individu yang ditahan dan didakwa pada penghhujung 2019 atas dakwaan menyokong LTTE.

Pada 21 Feb 2020, Peguam Negara Tommy Thomas ketika itu membatalkan pertuduhan terhadap 12 individu itu.

Balamurugan kemudian memulakan tindakan undang-undang untuk mengeluarkan LTTE daripada senarai pengganas.

LTTE tidak lagi aktif sejak tentera Sri Lanka mengalahkannya dalam perang saudara pada 2009.

Bercakap kepada Malaysiakini baru-baru ini, peguam Balamurugan, Omar Kutty mengesahkan permohonan kebenaran merayu di mahkamah persekutuan.

“V Balamurugan telah memfailkan permohonan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan pada 13 Mei 2022.

"Ini atas alasan bahawa Mahkamah Persekutuan dijemput memutuskan persoalan baru undang-undang berkaitan penyenaraian "Entiti tertentu" di Malaysia," kata peguam itu.

Menurut salinan permohonan kebenaran rayuan yang dilihat oleh Malaysiakini, lima persoalan undang-undang dikemukakan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi itu.

Antaranya ialah sama ada Menteri Dalam Negeri mempunyai kewajipan untuk mempertimbangkan perkembangan terkini sama ada untuk mengekalkan keputusannya bagi mewartakan entiti (LTTE) sebagai “entiti tertentu” di bawah Seksyen 66(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Difahamkan, perkembangan terkini yang dimaksudkan merujuk kepada LTTE yang sudah tidak berfungsi selepas tewas dalam perang saudara di Sri Lanka.

Mahkamah tertinggi menetapkan 17 Jun ini untuk pengurusan kes.

Balamurugan turut diwakili bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan, Lim Wei Jiet, Matthews Jude, Muhammad Farhan Fadzil, dan Kalai Nilaa.