Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih mahu PRU15 diadakan hanya selepas pembaharuan dibuat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersih mendesak agar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak mencadangkan pembubaran parlimen sehinggalah penggal sedia ada berakhir pada Julai 2023.

Menurut pertubuhan pendesak pembaharuan pilihan raya itu, langkah tersebut dirasakan wajar diambil bagi memberi masa yang secukupnya untuk pelaksanaan pelbagai pembaharuan yang diumum semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Bersih turut mengingatkan bahawa PRU ke-15 tidak perlu diadakan pada tahun ini seperti disebut-sebut sesetengah pihak.

"Bersih mengalu-alukan cadangan pembaharuan Ismail Sabri yang diumumkan untuk memperkukuh tadbir urus, kewangan politik, dan pemisahan tugas di antara peguam negara dan pendakwa raya.

"Tetapi kami menyeru beliau untuk menetapkan agenda pembaharuan yang komprehensif secara realistik yang berlangsung sehingga 16 Julai 2023, apabila parlimen terbubar.

"Mengisi baki penggal parlimen dengan pelaksanaan pembaharuan adalah sepenuhnya mampu dilakukan selagi Ismail Sabri tidak memohon pembubaran awal parlimen dan majoriti ahli parlimen memberikan keyakinan mereka perdana menteri," kata Bersih.

Bersih juga menggariskan bagaimana pembaharuan boleh dilakukan selepas tamat tempoh memorandum persefahaman (MOU) di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 31 Julai ini.

“Pembaharuan selepas Julai sepatutnya menjadi keutamaan semua parti, bukannya hanya perjanjian dua pihak di antara kerajaan Ismail Sabri dan PH.

“Usaha ke arah reformasi sebelum PRU ke-15 akan menjadi tumpuan pelbagai parti untuk memastikan persaingan yang adil pada dan selepas itu, dan bukan hanya perjanjian keyakinan dan bekalan untuk memelihara kerajaan sedia ada.

“Ia juga harus melibatkan kerajaan negeri secara rasmi untuk membawa perubahan yang sepadan melalui Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Bersih berpendapat sudah tiba masanya untuk memanfaatkan momentum berbilang parti sekarang untuk memajukan mekanisme semak dan imbang, serta akauntabiliti dalam demokrasi berparlimen negara.

Fasa kedua transformasi politik, kata organisasi itu, harus merangkumi undang-undang dana pembangunan kawasan pilihan raya yang sama rata di peringkat persekutuan dan negeri.

Mereka juga menggesa supaya parlimen diberi tempoh tetap bagi mengelak pilihan raya mengejut tanpa sokongan majoriti dua pertiga anggota dewan dan peruntukan untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita.

Bersih turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan cadangan mengehadkan saiz kabinet dan menghalang wakil rakyat daripada mengambil jawatan bergaji dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan atau menjadi duta.

"Parlimen ke-14 sejak Oktober 2021 adalah yang paling produktif dalam melaksanakan reformasi, walaupun empat perkara masih belum dipenuhi," katanya.

[Baca berita penuh]