Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat Kit Siang berhubung kenyataan mengenai Sri Lanka

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan yang dibuat pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang di laman Twitter.

Walaupun tidak menamakan Lim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Abd Jalil Hassan berkata imej tangkap layar ciapan tersebut dikesan telah ditularkan melalui aplikasi WhatsApp sejak dimuatnaik pada 19 Mei lalu.

Abd Jalil berkata siasatan dibuat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Terdahulu, Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri membuat kenyataan di blognya bertajuk "Bolehkah Malaysia mendapatkan pengajaran dari Sri Lanka?"

Lim dalam tulisan itu juga membangkitkan soalan: "Adakah mungkin rumah perdana menteri dan menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?"

Kenyataan itu menyebabkan bekas perdana menteri Najib Razak menggesa polis menyiasat Lim atas tuduhan menghasut.

Veteran DAP itu bagaimanapun membidas Najib kerana menuduhnya membuat kenyataan menghasut.

"Ahli politik yang sebenar akan tahu yang saya bukannya menyeru kepada keganasan – seperti pembakaran rumah Perdana Menteri dan Menteri-menteri – tetapi hanya memberikan amaran yang kita perlu menghayati pengajaran daripada apa yang berlaku di Sri Lanka dan kita tidak boleh membenarkan suasana politik dan sosio-ekonomi negara merosot sehingga menjadi sebuah negara gagal seperti yang terjadi di Sri Lanka dalam setengah abad yang lepas," katanya.

Protes terhadap kerajaan Sri Lanka meletus minggu lalu selepas negara itu menghadapi krisis ekonomi terburuk sejak mencapai kemerdekaan pada 1948.

Keadaan itu menyebabkan kadar inflasi meningkat dan kekurangan ubat, bahan bakar serta barang keperluan lain.

Penunjuk perasaan membakar rumah milik berpuluh-puluh ahli politik, termasuk rumah keluarga Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa dan adik lelakinya serta Presiden Gotabaya Rajapaksa.

Mahinda mengemukakan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri pada 9 Mei.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang juga Adun Perai DAP, mempertahankan kenyataan Lim.

"Saya tidak faham apa yang dikatakan menghasut berhubung catatan veteran DAP Lim Kit Siang dalam blognya bahawa Malaysia harus mengelak nasib yang sama seperti Sri Lanka.

“Beliau mungkin menyebut fakta rusuhan dan demonstrasi di Colombo sehingga rumah dan harta benda beberapa menteri dibakar.

“Apa yang disiarkan oleh Lim bukanlah berbaur hasutan atau nakal tetapi satu posting yang menyeru agar Malaysia tidak mengikut jejak langkah Sri Lanka,” katanya dalam satu kenyataan.