KPDNHEP akan hantar ayam ke kawasan hadapi isu bekalan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menghantar stok lebihan bekalan ayam yang ada di pasaran untuk negeri yang berdepan kekurangan sebagai alternatif penyelesaian jangka masa pendek.
Timbalan menterinya Rosol Wahid berkata langkah itu diharap dapat meredakan keresahan pengguna berikutan kekurangan bekalan ayam di beberapa negeri akibat penutupan ladang ternakan oleh beberapa syarikat.
"Alternatif ini akan digerakkan mengikut kapasiti kemampuan KPDNHEP untuk mengenal pasti mana kawasan yang terjejas teruk. Contohnya, (jika) kekurangan berlaku di Perlis, kita akan tampung dengan lebihan ayam yang ada di Pulau Pinang.
"Sebenarnya, berdasarkan laporan yang kami terima daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, jumlah pengeluaran ayam adalah sekitar 66 juta ekor sebulan, berbanding kadar penggunaan sekitar 60 juta untuk permintaan biasa, dan untuk musim perayaan jumlah permintaan meningkat sedikit," katanya.
Rosol berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program Jualan Keluarga Malaysia di Kuala Berang hari ini. Turut hadir Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia.
Mengenai penutupan beberapa ladang ayam selepas dipercayai berdepan masalah tumbesaran dan penyakit, Rosol berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP sudah memantau dan menjalankan siasatan terperinci di ladang terbabit.
"Kita tidak semata-mata menerima surat daripada syarikat penternakan terbabit, sebaliknya turun padang untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai masalah yang diutarakan.
"Pegawai pergi dan lihat sendiri malah laporan bergambar juga ada dan terbukti memang ayam berpenyakit... beratnya pula hanya sekitar satu hingga 1.2 kilogram dan tidak sesuai dibekalkan untuk pasaran tempatan," katanya.
Menurut Rosol tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sekiranya ada berlaku manipulasi bekalan untuk mengganggu kestabilan bekalan di pasaran.
Sementara itu di PERAK, Menteri Besar Saarani Mohamad memberi jaminan bekalan ayam di negeri itu masih mencukupi dan dijangka tidak berlaku krisis seperti di negeri lain.
“Apa yang berlaku di negeri lain tidak akan berlaku di Perak. Kerajaan berhubung terus dengan pengeluar ayam dan mereka memberi jaminan untuk bekalkan ayam seperti biasa kepada rakyat Perak.
“Malah, saya telah beri tanggungjawab kepada exco negeri untuk memberi maklumat dan laporan pada mesyuarat exco setiap minggu berkaitan sebarang perkembangan terkini,” katanya pada majlis jamuan rayanya yang juga Adun Kota Tampan di Lenggong hari ini.
Selain itu, Saarani berkata jabatan veterinar yang bertanggungjawab ke atas pengeluaran ayam sentiasa memantau dan melihat perkembangan perkara itu agar ia tidak menyusahkan rakyat.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai