Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedah nak jual sebahagian tanah litar lumba di Sg Petani

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan negeri bercadang menjual sebahagian daripada tanah yang akan dibangunkan sebagai litar lumba di Sungai Petani bagi mendapatkan dana membiayai kos pembinaan litar itu, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Noor.

Beliau berkata pembinaan litar - yang sebelum ini telah berjalan namun tertangguh sejak beberapa tahun lalu - juga akan menggunakan reka bentuk asal yang menelan kos RM30 juta.

"Tanah untuk dibangunkan litar itu luas, ada 100 ekar lebih. Tanah itu milik Menteri Besar Incorporated (MBI).

"Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan RM30 juta untuk pembinaan litar itu dan RM10 juta telah dibelanjakan untuk kerja tanah bagi pembinaan litar itu.

"Sekarang baki tinggal RM20 juta dan memang tidak cukup untuk membina litar itu dan perlu cari dana lain.

"Selain itu bayaran kepada pihak perunding projek sebanyak RM890,000 juga tidak dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini," katanya ketika ditemui pada Program Santai Belia di Alor Setar semalam.

Menurutnya, kerajaan Kedah sebelum ini mengubah pelan asal litar itu untuk menjadikannya lebih besar dengan menggunakan piawaian antarabangsa membabitkan kos RM73 juta.

Katanya, projek tersebut kemudian terhenti kerana kos yang tinggi dan KBS juga tidak dapat menyalurkan peruntukan tambahan yang diperlukan.

Muhammad Sanusi berkata bagi memastikan projek itu dapat berjalan semula, kerajaan negeri akan menggunakan pelan dan reka betuk asal membabitkan kos RM30 juta, namun perlu mencari sumber dana baru bagi menampung kekurangan peruntukan.

"Sekarang ini kita di peringkat jual tanah. Tanah itu akan dibahagikan kepada dua bahagian dengan sebahagian akan dibangunkan kawasan komersial dan sebahagian lagi untuk litar itu yang akan dibiayai dengan dana sedia ada dan dana baru," katanya.

Ditanya jangkaan tempoh masa projek itu akan siap, Muhammad Sanusi berkata perkara tidak dapat ditentukan buat masa ini memandangkan pihaknya masih di peringkat mendapatkan dana yang akan melibatkan proses pindah milik tanah dan pembayaran dengan pelbagai pihak.

- Bernama