Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: K'jaan perlu segera tangani isu bekalan ayam, keselamatan makanan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran menggesa pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membentangkan rancangan jaminan keselamatan makanan.

Gesaan itu susulan penutupan sementara beberapa ladang ternakan ayam serta penjual yang menimbang untuk mangadakan mogok.

"Di Ipoh, ketika saya ke pasar, saya jumpa penjual yang berkata mereka akan mogok kerana tidak dapat untung selepas penetapan harga siling RM8.90 per kilogram oleh kerajaan.

"Mereka kata harga itu tidak wajar kerana ia bersamaan dengan harga kos mereka dan maka tidak munasabah untuk mereka berniaga.

"Maka, kerajaan perlu bertindak segera dan memberikan subsidi dengan segera memandangkan keselamatan makanan adalah isu amat penting. Ia tidak boleh ditangguh hanya kerana menteri tidak cekap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kulasegaran menggesa Ismail Sabri untuk campur tangan dan bertindak segera sebelum keadaan memburuk.

"Kerajaan juga patut tahu yang ekoran perkembangan di peringkat global, kita juga akan merasa kesan kekurangan bekalan makanan tak lama lagi. Jadi apa rancangan kerajaan?

"Perlu ada mekanisme untuk menangani perkara ini. Kita terlalu bergantung kepada makanan dari luar negara dengan jumlah RM50 bilion setahun," katanya lagi.

Katanya, ia di sebalik keadaan negara yang memiliki cukup tanah dan cuaca yang baik untuk agrikultur, serta potensi pertanian bandar dan pertanian vertikal.

"Mengapa tidak menggalakkan lebih ramai rakyat untuk terlibat dalam pertanian agar kita boleh kawal sendiri isu makanan kita? Mengapa tidak perkenalkan subsidi dan geran untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini, memberi latihan percuma untuk meningkatkan kemahiran dalam pertanian vertikal dan juga memperuntukkan tanah?" soalnya.

Bekas menteri sumber manusia itu juga memuji langkah yang dibuat Datuk Bandar Ipoh Rumaizi Baharin yang melancarkan projek pertanian bandar di sana.

"Ini perlu dilakukan di seluruh negara agar lebih ramai dapat turut serta, walaupun jika ia hanya bermaksud menanam lada di pasu kecil di rumah.

"Jika kekurangan bekalan makanan tidak ditangani, rakyat yang berpendapatan rendah akan menerima kesan besar dan ia malah boleh membawa kepada isu malnutrisi," tegasnya lagi.