Skip to main
Logo Malaysiakini

Cacar monyet: K'jaan digesa keluarkan garis panduan jelas, ketatkan sempadan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan digesa perkenal garis panduan jelas mengenai cacar monyet, ketatkan kawalan sempadan

Kementerian Kesihatan digesa mengeluarkan "garis panduan yang jelas dan khusus" mengenai wabak baru cacar monyet, yang telah dikesan di beberapa negara, menurut Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii.

Yii berkata garis panduan yang betul, termasuk nasihat bagi mereka yang merancang untuk melancong ke luar negara, adalah penting untuk melindungi orang ramai daripada virus itu dan juga sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelaknya daripada merebak ke negara ini.

"Sehingga Sabtu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan 92 kes cacar monyet yang disahkan dan 28 yang disyaki di 12 negara ketika penularan misteri itu berterusan iaitu Australia, Kanada, Amerika Syarikat, Belgium, Perancis, Jerman, Itali, Portugal, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom. .

"Lebih banyak kes sudah tentu akan dilaporkan apabila pengawasan diperluas.

“Sebab itu garis panduan dan syor yang betul mesti dikeluarkan oleh KKM termasuk menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat negara yang terjejas akibat wabak cacar monyet untuk mendapatkan vaksin terlebih dahulu bagi melindungi diri daripada virus itu,” katanya.

Yii, yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains dan Inovasi, berkata kerajaan juga perlu melihat untuk mengetatkan kawalan sempadannya dan lebih berhati-hati untuk mencegah wabak itu menular di dalam negara.

Ini termasuk memantau kemasukan individu dari negara yang terjejas oleh wabak itu, tambahnya.

"Orang ramai juga harus dididik dan diberi garis panduan untuk memantau gejala cacar monyet, termasuk jika perlu tempoh kuarantin untuk mencegah penularan dalam negara.

“Mereka yang mengalami gejala selepas pulang dari negara terbabit perlu dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

“Setakat ini, virus itu belum dilaporkan di Malaysia jadi kita perlu lebih berhati-hati,” tegasnya.

Walaupun kadar kematian akibat cacar monyet adalah rendah dan majoriti mereka yang dijangkiti pulih tanpa komplikasi antara dua hingga empat minggu, Yii berkata, virus itu tidak boleh dipandang ringan.

Gesaan ahli parlimen DAP itu seiring dengan pandangan pakar kesihatan awam Dr Malina Osman, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, yang dilaporkan membuat gesaan yang sama agar KKM mengeluarkan garis panduan bagi mereka yang ingin melancong ke negara yang mempunyai kes cacar monyet dilaporkan.

Kementerian Kesihatan sejak itu telah mengeluarkan Soalan Lazim (FAQ) mengenai penyakit cacar monyet yang boleh diakses dari halaman Facebook Crisis Preparedness and Response Centre.

Kementerian juga berkongsi infografik yang mengandungi maklumat tentang cara penyakit itu merebak serta gejalanya.

Penyakit ini merebak melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan cecair badan daripada haiwan yang dijangkiti, titisan daripada batuk atau bersin atau sentuhan langsung dengan objek tercemar atau dengan ruam mereka yang dijangkiti.

Antara gejala cacar monyet termasuk ruam makulopapular yang bermula di muka dan merebak ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti dengan bahagian badan yang lain.

Gejala juga termasuk demam, keletihan, sakit kepala, sakit badan, sakit belakang atau sendi, kekejangan otot dan nodus limfa yang bengkak.

Menyedari bahawa tempoh inkubasi virus cacar monyet adalah antara enam hingga 21 hari, Kementerian Kesihatan berkata pesakit boleh mengalami gejala untuk tempoh masa antara dua hari sehingga empat minggu.