Skip to main
Logo Malaysiakini

6,197 kes HFMD di KL, Putrajaya setakat ini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya (JKWPKL&P) memaklumkan sejumlah 6,197 kes jangkitan Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya setakat 21 Mei lalu.

Pengarah JKWPKL&P Dr Nor Aishah Abu Bakar berkata kes berkenaan terus mencatatkan peningkatan bermula sejak pertengahan Mac.

"Pada hari terakhir Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 (iaitu pada 21 Mei 2022), sejumlah 6,197 kes HFMD telah dilaporkan kepada JKWPKL&P.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14 kali ganda berbanding pada tahun 2021 iaitu pada ME yang sama, hanya mencatat 403 kes.

"Manakala jumlah kes mingguan dilaporkan pada ME 20/22 adalah 1,163 kes berbanding 1,138 kes pada ME19/2022 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 2.2 peratus," katanya dalam kenyataan.

Katanya, sehingga ME 20/2022 sebanyak 408 wabak telah dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, berbanding ME yang sama pada tahun 2021 iaitu sebanyak 32 wabak.

Kejadian kes HFMD dikategorikan sebagai wabak apabila berlaku dua atau lebih kes dalam tempoh inkubasi yang sama, dan di lokaliti yang sama.

Peningkatan ketara dalam kes HFMD sejak kebelakangan ini dilaporkan di negeri-negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu.

Melaka, khususnya, mengarahkan taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak yang mempunyai lebih empat kes HFMD ditutup selama 10 hari.

Sementara itu, Nor Aishah menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD supaya tidak membawa anak ke tempat- tempat awam termasuk taska, tadika dan sekolah.

Dia juga menasihati ibu bapa membawa anak yang bergejala segera berjumpa doktor untuk menerima rawatan.