Skip to main
Logo Malaysiakini

AGC sedang teliti siasatan SPRM terhadap hakim Nazlan, kata Idrus

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pejabat Peguam Negara (AGC) sedang meneliti kertas siasatan yang dikemukakan SPRM berhubung siasatan ke atas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam Negara Idrus Harun berkata keputusan mengenai kes itu hanya akan dibuat selepas AGC selesai "meneliti" penemuan siasatan berkenaan.

"Kami sedang meneliti kertas siasatan sebelum membuat keputusan," katanya kepada Malaysiakini dalam mesej teks hari ini.

Idrus Harun, Peguam Negara

Malaysiakini menghubungi Idrus untuk mendapatkan ulasannya jika AGC berpuas hati dengan siasatan yang diserahkan Rabu lalu, dan jika mereka telah membuat sebarang keputusan.

Nazlan, ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan denda RM210 juta bagi kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Dia kemudian dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada Februari tahun ini.

Nazlan baru-baru ini dituduh oleh seorang penulis blog bahawa dia memiliki "kekayaan yang tidak dapat dijelaskan" sehingga menyebabkan SPRM membuka siasatan terhadap hakim itu.

Nazlan juga telah membuat laporan polis berhubung artikel yang diterbitkan oleh portal Malaysia Today itu.

Menurut SPRM, ia melancarkan siasatan terhadap Nazlan sebagai satu prosedur selepas laporan dibuat terhadap hakim berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, suruhanjaya antirasuah itu berkata siasatannya selesai Rabu lalu dan sedang menunggu arahan lanjut daripada AGC.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan ulasan daripada hakim Nazlan melalui pejabat perhubungan media kehakiman.