Skip to main
Logo Malaysiakini

Apandi kalah kes saman fitnah RM10 juta ke atas Kit Siang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lim Kit Siang mempunyai justifikasi dalam membuat kenyataannya menggesa bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali menjelaskan alasannya membebaskan Najib Razak daripada kes 1MDB pada 2016.

Perkara itu diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Azimah Omar petang ini menolak saman fitnah RM10 juta Apandi terhadap veteran DAP itu berhubung artikel pada 2019 "Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity”, yang diterbitkan di blognya.

Hakim itu antara lain menyatakan bahawa Lim wajar membangkitkan isu itu, terutamanya berikutan bekas perdana menteri Najib telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi berasingan pada 2020 dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Azimah menyatakan bahawa sabitan Najib terus dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Mahkamah juga mengarahkan Apandi membayar RM80,000 kos guaman kepada Lim.

Pada 5 Julai 2019, Apandi memfailkan saman sivil, mendakwa bahawa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis artikel yang didakwa berunsur fitnah.

Apandi mendakwa artikel itu antara lain membayangkan bahawa dia terlibat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika, dan telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018.

Semasa perbicaraan tindakan sivil itu pada April tahun lalu, Apandi menangis di mahkamah ketika memberi keterangan terhadap Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Dalam saman sivil itu, justifikasi ialah pembelaan bahawa kenyataan atau dakwaan itu adalah benar, dan jika berjaya di mahkamah, ini akan bertindak sebagai pembelaan mutlak terhadap tindakan undang-undang.

Pada 26 Jan 2016, Apandi, sambil memegang carta aliran dana SRC semasa taklimat media, mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu, berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh SPRM. SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB.

Semasa membacakan penghakiman setebal 100 muka surat petang ini, Azimah menyatakan bahawa artikel Lim tidak mengaitkan Apandi bersalah atas salah guna kuasa.

Hakim berkata Lim hanya mengatakan bahawa terdapat alasan lanjut untuk siasatan berhubung perkara itu dan pihak yang dinamakan dalam kenyataan akhbar Apandi untuk tampil menjelaskan urus niaga di luar kelaziman itu.

Azimah menegaskan Najib didakwa di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Defendan telah berjaya membuktikan justifikasi ke atas imbangan kebarangkalian. Bagi mahkamah, penghakiman (Mohd) Nazlan (Mohd Ghazali) masih kekal seperti yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah dalam kes SRC.

[Baca berita penuh]