Mafi kerah lebih ramai pegawai, percepat subsidi pada penternak ayam
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan menghantar lebih ramai pegawainya ke peringkat negeri bagi mempercepatkan bayaran subsidi kepada penternak ayam dalam usaha meningkatkan pengeluaran domestik.
Dalam satu kenyataan, Mafi memaklumkan setakat ini hanya RM50 juta subsidi telah dibayar walaupun sebanyak RM729.43 juta subsidi disediakan di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia sejak 5 Feb lepas, selaras penetapan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 per kilogram.
Perkara sama turut disebut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
“Semua penternak yang memenuhi syarat diminta untuk kemukakan permohonan supaya tuntutan dapat disalurkan dalam tempoh yang telah dijanjikan,” tegas kementerian itu.
Keputusan ini antara yang dicapai dalam sesi libat urus Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee, semalam, bersama 12 pemain industri dan persatuan penternak antaranya Leong Hup Poultry Farm Sdn Bhd, HLRB Broiler Farm Sdn Bhd, PWF Corporation Bhd dan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor.
Kementerian itu berkata, bagi merancakkan lagi aktiviti pengeluar makanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) juga akan terus mempermudah dan mempercepatkan proses tuntutan subsidi penternak ayam.
Menurut Mafi pihak industri yang terlibat dalam sesi libat urus turut menyatakan komitmen untuk terus membekalkan ayam bagi keperluan pasaran tempatan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai