Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesara tentera: Kalau Mindef nak jumpa, siar macam debat Najib-Anwar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi Suara Veteran, Komander (B) Abdul Rahman Husain berkata pihaknya hanya akan bertemu dengan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein bagi membincangkan isu kebajikan pesara tentera jika ia dibuat secara terbuka.

Malah Abdul Rahman berkata pertemuan itu, jika berlaku, perlu disiarkan kepada orang ramai seperti debat ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Najib Razak baru-baru ini.

Dia mendakwa perbincangan secara tertutup sudah dibuat sebelum ini namun tiada perubahan yang berlaku.

“Adakan perbincangan terbuka di Auditorium Mindef (Kementerian Pertahanan) seperti debat Anwar-Najib agar yang lain dapat turut sama mendengar dan nilaikan sendiri.

“Kalau kita bentang usul kebajikan veteran secara tertutup nanti benda sama yang akan berulang. Mereka akan kata hendak dikaji cadangan kami tetapi kemudian dilupakan begitu sahaja,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 20 Mei lalu, Hishammuddin berkata pesara tentera yang mempunyai cadangan berkaitan kebajikan mereka boleh berjumpa dengan Kementerian Pertahanan dan bukannya mengadakan demonstrasi.

“Bagi saya sebagai menteri pertahanan yang penting ialah untuk mendekati dan melibatkan diri secara langsung...Ugut-ugut ini semua tak jalan.

“Jadi kalau ada mana-mana pihak yang ada cadangan, serta pandangan, ada keinginan datang kepada Mindef, cakap. (Kita) sentiasa terbuka,” katanya.

Sebelum ini, Suara Veteran mengumumkan akan mengadakan perhimpunan untuk membangkitkan isu kebajikan pesara tentera.

Perhimpunan dinamakan Veteran Bangkit itu dirancang pada 6 Jun.

Abdul Rahman seterusnya mendakwa pihaknya pernah berjumpa dengan Hishamuddin pada tahun 2017, yang juga merupakan menteri pertahanan ketika itu, untuk membincangkan hal kebajikan pesara tentera.

“Dia beritahu perubahan untuk veteran akan diumumkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU). (Veteran perlu)Tunggu sekejap. Tetapi sekarang sudah 2022, masih belum ada apa-apa.

“Dalam masa lima tahun menunggu itu pun sudah ramai rakan veteran kita yang meninggal. Jadi sekarang, nak tunggu lagi lima tahun?” soalnya.

Dia berkata pihaknya setakat ini belum membuat apa-apa permohonan untuk bertemu dengan pihak Kementerian Pertahanan namun bersedia untuk berbuat demikian jika ada pihak yang ingin mengaturkannya.