Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim dakwa media cetak 'gelapkan' laporan Apandi kalah kes saman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mendakwa media cetak tidak mengendahkan kemenangannya di mahkamah terhadap bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali.

“Saya pasti akan terpampang di muka depan dalam media cetak... sekiranya Apandi menang saman fitnah RM10 jutanya terhadap saya, tetapi laporan itu digelapkan apabila saya menang," katanya.

Menurut Lim, sebelum Mei 2018 laporan mengenainya di dada akhbar cetak cuma berita buruk dan dia kembali diabaikan selepas kejatuhan PH pada Februari 2020.

“Ini adalah petunjuk keadaan kebebasan akhbar di Malaysia, yang tidak ada kena mengena sama ada lebih ramai pembaca dalam talian atau media cetak,” kata Lim.

Malaysiakini tidak boleh mengesahkan sama ada dakwaan Lim itu benar atau tidak.

Semakan awal mendapati Utusan Malaysia dan The Star melaporkan keputusan perbicaraan itu dalam edisi dalam talian mereka.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah RM10 juta Apandi terhadap veteran DAP itu berhubung artikel pada 2019 "Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity”, yang diterbitkan di blognya.

Hakim Azimah Omar memutuskan Lim mempunyai justifikasi dalam membuat kenyataannya menggesa Apandi menjelaskan alasannya membebaskan perdana menteri Najib Razak daripada kes 1MDB pada 2016.

Hakim itu antara lain menyatakan bahawa Lim wajar membangkitkan isu itu, terutamanya berikutan bekas perdana menteri Najib telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi berasingan pada 2020 dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Azimah menyatakan bahawa sabitan Najib terus dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Mahkamah juga mengarahkan Apandi membayar RM80,000 kos guaman kepada Lim.

Pada 5 Julai 2019, Apandi memfailkan saman sivil, mendakwa bahawa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis artikel yang didakwa berunsur fitnah.

Apandi mendakwa artikel itu antara lain membayangkan bahawa dia terlibat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika, dan telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018.

Azimah menyatakan bahawa artikel Lim tidak mengaitkan Apandi bersalah atas salah guna kuasa.

Hakim berkata Lim hanya mengatakan bahawa terdapat alasan lanjut untuk siasatan berhubung perkara itu dan pihak yang dinamakan dalam kenyataan akhbar Apandi untuk tampil menjelaskan urus niaga di luar kelaziman itu.

Azimah juga menegaskan Najib didakwa di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Defendan telah berjaya membuktikan justifikasi ke atas imbangan kebarangkalian. Bagi mahkamah, penghakiman Nazlan masih kekal seperti yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ialah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah dalam kes SRC.

[Baca berita asal]