Anwar gesa SPRM bongkar 'perompak' di era pandemik
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membongkar penyelewengan yang dilakukan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Anwar yang juga presiden PKR berkata dia menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berhubung "usaha untuk membawa pulang setiap sen dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB)."
"Saya menggesa agar SPRM mengambil tindakan pantas mengenai isu ini kerana ia melibatkan sikap kita terhadap rasuah dan penyelewengan dana awam oleh penguasa perasuah.
"SPRM juga perlu terus membongkar dan bertindak ke atas petualang perompak dana rakyat tatkala pandemik menyerang sejak dua tahun lalu," kata Anwar pada satu kenyataan hari ini.
Semalam, Azam mendedahkan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ini ketika wabak Covid-19 melanda, terpalit dengan unsur rasuah.
Azam berkata suruhanjaya antirasuah itu telah membuka beberapa siasatan terhadap perolehan perkhidmatan perubatan; penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan bantuan dan pakej rangsangan.
Selain itu, katanya siasatan SPRM turut membabitkan penipuan yang berkaitan dengan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan seperti pelitup muka, sarung tangan dan lain-lain iaitu dari segi kuantiti dan kualiti peralatan perubatan yang lebih rendah.
“Perbuatan itu menunjukkan ada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk membuat wang haram daripada kesakitan dan kemalangan orang ramai," kata Azam.
SPRM juga, jelas Azam sedang menyiasat kes rasuah anggota penguatkuasaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam pada itu, Anwar berkata sikap tegas terhadap rasuah dan salahguna kuasa tidak seharusnya ada kompromi dalam membina masyarakat berintegriti.
"Sikap tegas kita terhadap rasuah dan salahguna kuasa adalah cerminan integriti masyarakat yang tinggi dan tidak harus ada kompromi sama sekali dalam hal melibatkan integriti," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai