Lif rosak, dah 5 tahun panjat tangga 13 tingkat
Penghuni Blok A Pangsapuri Sri Sena di Kangar menuntut pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi membaiki kerosakan lif di kediaman mereka.
Leceh dan memenatkan, itu antara rungutan yang diluahkan oleh penghuni kerana terpaksa memanjat tangga lebih 13 tingkat bangunan itu setiap hari sejak lima bulan lepas berikutan kerosakan itu.
Seorang penduduk, Chau Tek Kau, 70, berharap masalah berkenaan dapat segera diselesaikan kerana membebankan penduduk.
“Amat memenatkan, lebih-lebih lagi buat warga emas seperti saya, namun saya tiada pilihan dan terpaksa menggunakan tangga dua kali sehari untuk pergi dan balik kerja,” katanya kepada pemberita hari ini.
Chau yang bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah restoran berkata masalah kerosakan lif itu bukan satu perkara baharu dan pihak komuniti telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Abdullah, 54, berkata beliau difahamkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan bagi membaiki lif itu.
“Entah di mana silapnya, kami masih menunggu namun masih belum ada kerja pembaikan dilakukan pihak kontraktor hingga ke hari ini.
“Keadaan bertambah buruk apabila pangsapuri ini mengalami masalah bekalan air semalam, jadi kami terpaksa naik turun tangga beberapa kali untuk mendapatkan bekalan air,” katanya yang memiliki empat anak.
Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis Azizan Sulaiman berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM333,120 kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri bagi kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala lif di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Sri Sena.
“Kita mengambil berat kesusahan rakyat dan peruntukan telah diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis pada Mac lalu. Saya difahamkan oleh JKR bahawa tender dan lantikan kontraktor telah dibuat pada pertengahan April lepas,” katanya.
Azizan berkata beliau difahamkan bahawa kontraktor yang dilantik menghadapi masalah teknikal bagi mendapat alat ganti dari luar negara dan masalah tersebut dijangka dapat diselesaikan dalam masalah terdekat.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai