Skip to main
Logo Malaysiakini

Saman lucut hak 1MDB: Najib tuntut 7 jam, Rosmah mahu gelang berlian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Najib Razak menuntut tujuh jam tangan, manakala isterinya, Rosmah Mansor mahu gelang berlian emas putih berharga RM1 juta dipulangkan dalam saman pelucuthakan berkaitan 1MDB yang difailkan kerajaan.

Peguam bekas perdana menteri dan isterinya itu memaklumkan demikian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini semasa pengurusan kes tindakan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings Sdn Bhd.

Gelang dan jam tangan yang disimpan di bilik kebal Bank Negara itu adalah antara barang disita polis dari premis milik Obyu di kondominium Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa berkaitan skandal 1MDB.

Obyu adalah defendan tunggal dalam saman lucut hak utama berkaitan 1MDB. Bagaimanapun, Najib, Rosmah dan tukang emas Lubnan, Global Royalty Trading SAL menjadi pihak ketiga.

Pada 5 Ogos tahun lalu, Umno dan Najib menerima wang berjumlah RM114 juta, selepas pendakwaan gagal melucut hak wang tersebut dalam saman yang difailkannya sebelum ini.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin hari ini, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata bahawa tuntutan pihak ketiga bekas perdana menteri itu adalah hanya pada tujuh jam tangan (tidak jelas jenama atau harganya).

Peguam itu telah memohon kepada mahkamah supaya perbicaraan berasingan diadakan berhubung tuntutan Najib ke atas jam tangan itu.

Sementara itu, peguam Rosmah Azamuddin Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa tuntutan pihak ketiganya adalah untuk mendapatkan gelang tersebut.

“Setakat hari ini, Rosmah masih memohon barangan yang turut menjadi subjek tuntutan (pihak ketiga) oleh Global Royalty Trading.

"Gambar (barang kemas) itu akan diterima hari ini," kata Azamuddin, ketika pengurusan kes hari ini, sambil menambah bahawa mereka juga memerlukan masa untuk mendapatkan arahan pengesahan daripada Rosmah berhubung tuntutan pihak ketiga.

Sebelum ini, pasukan peguam Rosmah memohon gambar barang kemas yang dirampas untuk memudahkan tuntutannya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik peguam David Gurupatham, yang mewakili Global Royalty menegaskan bahawa rantai tangan itu milik syarikat barang kemas tersebut kerana ia telah pun disahkan pakar daripada syarikat itu semasa pemeriksaan fizikal yang dilakukan tahun lepas.

“Yang Arif, Rosmah tidak hadir ke BNM untuk pemeriksaan dan beliau mengetepikan hak untuk pemeriksaan barang kemas itu.

“Untuk rekod, Supt Foo Wei Min yang merupakan pegawai bertanggungjawab telah memeriksa secara fizikal setiap barang kemas tersebut. Pakar dari Global Royalty juga mengesahkan bahawa ia milik syarikat itu,” kata peguam tersebut.

Barang kemas itu adalah antara pelbagai barangan yang dirampas polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa ada kaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan pelbagai barangan dirampas termasuk 11,991 barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,39.

Semasa prosiding hari ini, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib Razak berkata tuntutan pihak ketiga bekas perdana menteri itu hanya bagi tujuh utas jam tangan dan bukan pada rantai tangan itu.

Peguam itu telah memohon mahkamah mengadakan perbicaraan berasingan berhubung tuntutan Najib bagi jam tangan tersebut.

Shafee memohon pihak pendakwaan meminda notis usulnya (berkenaan saman pelucuthakan) bagi memudahkan pendengaran berasingan tuntutan tujuh utas jam tangan itu.

“Mengenai tuntutan Najib, ia lebih tujuh utas jam tangan. Yang lain dah selesai. Bagi pihak pendakwaan membuat pindaan, ia adalah sangat mudah melalui lisan,” kata Muhammad Shafee dan menjelaskan bahawa perkara itu akan mengelakkan kelewatan mendengar tuntutan rampasan yang melibatkan barangan lain.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin ketika menjawab permohonan Shafee bagi perbicaraan berasingan berhubung tuntutan tujuh utas jam tangan itu, berkata mereka memerlukan lebih masa untuk memfailkan permohonan sewajarnya bagi meminda notis usul itu.

Hakim Muhammad Jamil menetapkan 8 Jun untuk pengurusan kes bagi membenarkan pihak pendakwaan meminda dokumen mahkamah berkaitan.