Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib kecewa usaha selamatkan Sapura jadi isu perkauman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri, Najib Razak kesal apabila ada pihak menjadikan isu perkauman berhubung cadangannya bagi menyelamatkan Sapura Energy Bhd (Sapura).

Najib mengakui bahawa syarikat itu diasaskan oleh bumiputera, namun usaha untuk menyelamatkannya penting bagi pembangunan dan kelangsungan Petronas serta sektor minyak dan gas negara.

"Saya tak faham mengapa cadangan saya dan rancangan kerajaan untuk selamatkan Sapura boleh dijadikan isu perkauman?

"Ya, Sapura dibina oleh usahawan bumiputera sehingga pernah menjadi syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar dunia dengan nilai RM30 bilion.

"Ya, Sapura telah dijadikan syarikat GLC milik PNB dan pelabur ASB oleh kerajaan PH pada tahun 2019.

"Tapi, Sapura ini amat penting dari segi pembangunan negara dan kelangsungan Petronas serta sektor minyak dan gas negara," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sebelum ini Najib dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berdebat berhubung usaha bagi menyelamatkan syarikat berkenaan.

Najib mencadangkan supaya Petronas menjadi penyelamat kepada Sapura, manakala Anwar mahukan forensik audit dilaksanakan.

Dalam pada itu, Najib berkata, sekiranya Petronas atau kerajaan berjaya memulihkan semula Sapura, keuntungan besar itu akhirnya akan dikongsi dengan semua rakyat melalui perbelanjaan dan bantuan yang lebih besar.

Katanya, Sapura juga turut mengupah bukan bumiputera dalam syarikat itu, selain tidak menghalang mereka untuk membeli saham syarikat dan menerima manfaat sekiranya Sapura berjaya dipulihkan.

"Syarikat Sapura juga mengupah orang bukan bumiputera.Dan tiada siapa yang halang kaum bukan bumiputera untuk membeli saham Sapura dan menerima manfaat sekiranya syarikat itu berjaya dipulihkan.

"Saya juga perhatikan ramai komen bukan bumiputera yang berterima kasih pada saya setelah mengaut keuntungan susulan harga saham Sapura naik lebih berganda selepas debat saya dengan Anwar," katanya lagi.