Imej SPRM 'tercemar' sejak klip audio 2016, kontroversi Azam - MP
Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh hari ini mendakwa imej SPRM sudah pun tercemar oleh rakaman audio yang bocor pada 2016 antara bekas perdana menteri Najib Razak dan ketua suruhanjaya antirasuah ketika itu berhubung skandal 1MDB.
Ini bercanggah dengan kenyataan bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif yang mengaitkan reputasi SPRM tercalar dalam beberapa tahun kebelakangan ini susulan pelantikan seorang 'ahli politik aktif' sebagai ketua pesuruhjayanya semasa pentadbiran Pakatan Harapan.
“Pandangan Raus seolah-olah mencadangkan bahawa SPRM menikmati keyakinan awam sebelum pelantikan apa yang dikatakan sebagai lantikan politik itu yang tidak boleh menyimpang jauh dari kebenaran.
“Sebagai bekas ketua hakim negara, Raus sepatutnya berterus-terang mengenai imej SPRM yang terjejas ketika kebocoran rakaman audio bekas perdana menteri dan bakal pegawai tertinggi SPRM pada 2016.
"(Perkara itu telah) didedahkan kepada umum oleh bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada 2020 dengan kehadiran ketua SPRM semasa Azam Baki,” kata Ramkarpal pada satu kenyataan.
Azam mesti pulihkan keyakinan
Rakaman audio berkenaan dikeluarkan oleh SPRM pada 2020 semasa Latheefa menerajui suruhanjaya itu, termasuk beberapa rakaman panggilan antara Najib dan bekas ketua SPRM Dzulkifli Ahmad.
Isu kesahihan rakaman itu juga sepatutnya ditangani oleh Raus, kata Ramkarpal.
“Kekecewaan terbesar daripada ucapan Raus adalah kegagalannya untuk menangani perkara besar yang cuba ditutup - kontroversi baru-baru ini yang menyelubungi Azam sehinggakan menarik kritikan daripada orang ramai, membawa kepada terhakisnya keyakinan yang serius terhadap SPRM.
“Orang akan menyangka insiden sebegitu akan ditangani atau sekurang-kurangnya diulas oleh bekas ketua hakim negara pada majlis yang dihormati itu," kata Ramkarpal.
Rais membuat dakwaan mengenai reputasi SPRM terjejas semasa berucap pada Forum Pencegahan Rasuah Malaysia 2022 semalam.
Raus selanjutnya berkata kebebasan dan sikap tidak berpihak SPRM tidak lagi dapat dipertahankan apabila mendakwa wujud campur tangan politik di dalamnya.
Ini kemungkinan merujuk kepada pelantikan Latheefa Koya yang dilantik secara unilateral oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 2019.
Dia melepaskan keahlian PKR selepas pelantikan itu.
Raus - yang turut terpalit dengan kontroversi berkait pelantikannya sebagai ketua hakim negara di bawah kerajaan BN - menambah tidak menghairankan apabila SPRM menerima kesan negatif daripada pelantikan tersebut.
Justeru kata Raus ketua pesuruhjaya SPRM sekarang - merujuk kepada Azam Baki - mesti memulihkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap agensi tersebut.
“Walaupun ini tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai