Skip to main
Logo Malaysiakini

Persepsi positif Melayu terhadap China merosot, ini jawapan dutanya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Duta Besar China ke Malaysia, Ou Yang Yujing berkata persepsi positif rakyat Malaysia secara keseluruhan terhadap China mencerminkan hubungan dua hala yang optimistik antara kedua-dua negara.

Ini selepas tinjauan yang dilakukan Merdeka Center menunjukkan persepsi positif di kalangan masyarakat Melayu terhadap China mengalami sedikit penurunan berbanding 2016.

“Kita harus melihat trend secara umum bahawa kepuasan keseluruhan rakyat dari kedua-dua negara terhadap satu sama lain lebih maju ke depan.

“China dan Malaysia telah bekerjasama dalam bidang yang berbeza dan mungkin setiap orang akan mempunyai persepsi mereka sendiri.

“Bagaimanapun, hubungan keseluruhan antara kedua-dua kerajaan dan masyarakat umum kedua-dua negara adalah optimistik,” kata Ou Yang ketika ditanya mengenai persepsi positif dalam kalangan orang Melayu terhadap China yang semakin merosot.

Menurut tinjauan Merdeka Center dan Institut Pengajian China Universiti Malaya, rakyat Malaysia melihat China sedikit lebih baik pada tahun ini berbanding 2016.

Tinjauan itu, yang dijalankan pada Mac, menunjukkan 39 peratus daripada 1,204 responden melihat China secara lebih positif, meningkat daripada 35 peratus ketika tinjauan serupa dijalankan pada Julai 2016.

Bagaimanapun, hanya 28 peratus orang Melayu melihat China dengan pandangan positifi iaitu turun daripada 33 peratus pada 2016.

Persepsi baik terhadap China hanya ketara dalam kalangan kaum Cina Malaysia iaitu sebanyak 67 peratus.

Ou Yang juga menegaskan bahawa persahabatan antara Malaysia dan China mempunyai sejarah yang panjang dengan perdagangan dan pelaburan dua hala telah berkembang terutamanya semasa wabak Covid-19.

“Komunikasi dalam talian antara kedua-dua negara terus berkembang walaupun hubungan secara luar talian terjejas buat sementara waktu.

“China dan Malaysia juga telah bekerjasama dalam memerangi wabak ini, contohnya, China menyediakan sejumlah besar vaksin Covid kepada Malaysia.

"Kedua-dua negara mengatasi kesukaran yang dibawa oleh wabak itu dan hubungan dua hala terus meningkat dengan kerjasama," tambah Ou Yang.

Tanggapan yang agak kurang baik terhadap China dalam kalangan orang Melayu dipercayai ada kaitan dengan dakwaan penindasan terhadap orang Islam Uyghur di wilayah Xinjiang China.

Bulan lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) melancarkan kempen untuk mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang apa yang disifatkannya sebagai penindasan terhadap umat Islam Uyghur.

Dalam wawancara baru-baru ini dengan Malaysiakini, aktivis Uyghur, Omer Kanat berkata dia akan terus memainkan peranan melibatkan kerajaan majoriti Islam, termasuk Malaysia, untuk bersuara menentang layanan China terhadap Uyghur.