Skip to main
Logo Malaysiakini

Tangani dua isu utama untuk jamin bekalan makanan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan tidak dapat menjamin bekalan makanan untuk kegunaan domestik jika tidak menyelesaikan dua isu utama membabitkan perkara itu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Mohd Soffi Abdul Razak, berkata isu berkenaan ialah bekalan makanan ternakan mencukupi untuk penternak, dan isu tenaga kerja dalam industri berasaskan pertanian.

"Krisis (bekalan makanan) bukan hanya dihadapi negara kita, tapi ia berlaku di seluruh dunia dan puncanya ialah sumber bekalan makanan untuk ternakan terjejas sejak tercetusnya perang Russia - Ukraine.

"Perlu kita ingat bahawa kedua-dua negara itu adalah antara pengeluaran bijirin terbesar di dunia dan kita pun tidak sangka krisis berkenaan tercetus dan berlanjutan.

"Jadi, inilah punca bermulanya masalah dan seterusnya memberi kesan kepada penternak di negara kita.

"Harga bijirin yang menjadi sumber makanan utama ternakan ruminan seperti ayam meningkat dan mengakibatkan kenaikan kos di peringkat ladang yang memberi kesan kepada pengguna," katanya dalam sidang media di Kuantan, semalam.

Mohd Soffi turut memaklumkan isu kedua yang memberi kesan secara tidak langsung kepada bekalan makanan tempatan ialah kekurangan tenaga kerja dalam sektor itu.

"Kita masih banyak bergantung kepada tenaga kerja asing dalam banyak sektor pertanian, ini tidak memberi kebaikan kepada kita kerana mereka ini (pekerja asing) akan mengakibatkan pengaliran wang ke luar (negara) dan mereka juga mempunyai tempoh tertentu untuk bekerja sebelum perlu pulang ke negara asal," katanya yang menegaskan hal berkaitan tenaga kerja asing bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

Dia bagaimanapun memaklumkan tidak berlaku isu kekurangan bekalan makanan, terutama membabitkan masalah kekurangan pendaratan ikan di Pahang setakat ini.

"Kita di Pahang tidak ada masalah kekurangan bekalan ikan seperti dihadapi beberapa negeri lain.

"Sehingga kini, hasil pendaratan ikan oleh nelayan di Pahang masih lagi paling tinggi di Pantai Timur Semenanjung dan kelima terbaik di seluruh negara," katanya.

Mohd Soffi turut mencadangkan orang ramai untuk menukar menu daripada menjadikan ikan laut sebagai sumber protein utama kepada ikan air tawar.

Katanya, banyak spesies ikan air tawar boleh diperoleh dengan mudah di Pahang yang boleh menggantikan ikan laut.

"Sebab itulah kita mempromosikan ikan air tawar sebagai pilihan kepada orang ramai, kerana kita di Pahang mempunyai pelbagai spesies (ikan air tawar) yang sangat terkenal seperti patin, talapia, kerai, baung dan banyak lagi," katanya.

Dia turut mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan menambah bilangan pusat pengembangan akuakultur bagi memastikan bekalan benih anak ikan dapat diagihkan kepada penternak ikan dengan lebih efisien.

"Buat masa ini hanya ada dua saja pusat pembangunan akuakultur, kedua-duanya di Pahang, satu di Bukit Tinggi, Bentong dan satu lagi di Kampung Perlok, Jerantut.

"Pusat ini bukan hanya membekalkan benih anak ikan kepada penternak di Pahang, tapi penternak dari negeri lain pun ambil benih dari pusat ini.

"Jadi kalau boleh, binalah lebih banyak supaya mereka (penternak) lebih mudah untuk mendapatkan benih anak ikan dan secara tidak langsung dapat menjamin bekalan ikan air tawar tidak berdepan masalah pada masa akan datang," katanya.