Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin akan kemuka pengganti , Umno ingatkan jangan kekalkan Zuraida

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin akan mengemukakan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat nama pengganti Zuraida Kamaruddin untuk dilantik sebagai anggota Kabinet.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berkata kekosongan yang ditinggalkan Zuraida itu bakal diisi oleh pemimpin Bersatu.

"Berkaitan labinet, YB Tan Sri Muhyiddin selaku presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan menamakan calon yang sesuai dari kalangan pemimpin Bersatu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) atas alasan tertarik dengan prinsip terasnya, antaranya keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita dan pemerkasaan anak muda.

Wan Saiful Wan Jan

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata dia akan tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Zuraida merupakan bekas naib presiden PKR yang bertindak keluar parti bersama sekumpulan bekas pemimpin PKR lain diketuai Mohamed Azmin Ali ketika "Langkah Sheraton".

Keputusannya bersama rakan lain meninggalkan PKR, termasuk Bersatu menarik diri, menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad tumbang.

Zuraida kemudiannya menyertai Bersatu yang dipimpin Muhyiddin sebelum memilih untuk menyertai PBM.

Sementara itu, Wan Saiful berkata Bersatu sememangnya telah membincangkan kedudukan Zuraida, setelah meneliti tindak tanduknya yang terkini. 

Katanya, surat tunjuk sebab juga telah dikeluarkan hasil daripada pertimbangan tersebut. 

"Biro Politik Bersatu juga sebenarnya telah mengambil ketetapan mengenai kedudukan beliau dalam parti. Kerana itulah, bagi saya, tindakan Zuraida bukan satu perkara mengejutkan kerana ia memang telah dijangka. 

"Dalam keadaan seluruh negara sedang bercakap mengenai peri pentingnya kestabilan politik, nampaknya Zuraida bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri sahaja," katanya.

Jangan kompromi - Umno

Sementara itu, Umno pula mengingatkan Ismail Sabri supaya tidak lagi berkompromi kepada pihak yang melompat dengan mengekalkan jawatannya dalam kabinet.

Ahmad Zahid Hamidi

“Ia sebahagian tanda  sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang lompat,” kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, ramai lagi ahli parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan menteri yang dipegang oleh Zuraida.