Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengkalan Kubur turut bergegar, penduduk lari ke tempat selamat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Insiden letupan bom dan berbalas tembakan yang berlaku di Tak Bai, Wilayah Narathiwat, malam tadi, turut menggemparkan penduduk sekitar Pengkalan Kubur, Tumpat.

Tinjauan Malaysiakini di lokasi sempadan Malaysia-Thailand itu mendapati penduduk berhampiran terkejut, malah bertindak berpindah ke rumah saudara-mara yang lebih jauh kerana bimbang dengan keselamatan diri.

Dengan jarak rumah kira-kira 50 meter dari Sungai Golok yang memisahkan kedua-dua negara, Fatimah Wan Yusof, 70, berkata, dia bersama anak dan menantu serta dua orang cucu sedang menikmati makan malam.

Menurutnya, bunyi ledakan bom turut menggegarkan kediaman mereka disusuli taburan percikan sisa bahan letupan jatuh ke bumbung rumah.

"Memang sangat terkejut, masa itu saya sedang makan malam. Bunyi (letupan) sangat kuat hingga bergegar rumah.

"Rasa sangat takut sebab bunyi tembakan lama juga. Kami kemudiannya bergegas ke rumah anak seorang lagi di Genting, Tumpat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung.

Tambah Fatimah (gambar, atas) kejadian itu pertama kali dialaminya yang tinggal di situ sejak kecil lagi.

"Biasanya kalau ada kejadian begini jaraknya agak jauh, dengan letupan pun sayup-sayup saja.

“Kali ini sangat dekat, tak pernah berlaku lagi sebelum ini," jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan kejadian letupan bom dan berbalas tembakan berlaku berhampiran jeti Tak Bai antara individu tidak dikenali dengan pihak berkuasa Thailand.

Difahamkan kejadian itu turut mengakibatkan tiga anggota keselamatan cedera.

Sementara itu, Zainab Zakaria, 38, pula berkata dia bersama suami dan tiga cahaya mata mereka turut meninggalkan rumah dan berlindung di rumah ibu bapa mereka di kampung bersebelahan.

Katanya, kejadian itu dibimbangi mengancam keselamatan mereka kerana jarak lokasi dengan rumah yang berhampiran.

"Rasa macam peluru sampai ke belah sini, bergegar rumah ketika letupan bom.

"Memang sangat takut, sebab kejadian berlaku agak lama. Kami terus balik rumah ayah," jelasnya

Dalam kejadian itu juga, Shikin Khorie, 26 (gambar, bawah) turut bertindak meninggalkan rumah sewanya yang turut terletak di Kampung Tanjung.

Menceritakan kejadian itu, dia berkata ketika kejadian sekitar jam 9.35 (waktu Thailand), dia dan ahli keluarga sedang berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan bunyi tembakan.

"Awalnya kami sangka bunyi mercun namun bunyi itu semakin kuat dan saya keluar melihat apa yang berlaku.

"Keadaan ketika itu sangat menakutkan kerana jarak rumah saya dengan lokasi kejadian sekitar 50 meter sahaja dan saya dapat melihat cahaya tembakan dan letupan bom.

"Masa itu macam-macam saya fikir, saya takut peluru sampai ke rumah dan penjenayah itu datang menyerang ke arah rumah saya memandangkan jarak yang dekat," katanya.

Sementara itu, Bernama memetik Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun sebagai berkata semua unit risikan di sempadan telahpun menjalankan tugasan dan setakat ini kejadian tersebut tidak melibatkan rakyat Malaysia.

Menurutnya, keselamatan di negara ini amat terjamin kerana kawalan di sempadan sentiasa dipertingkatkan.

Katanya, daripada pemerhatian polis percaya insiden yang berlaku itu tidak ada kaitan dengan kegiatan penyeludupan.

Muhamad Zaki berkata sejak pintu sempadan antara Malaysia dan Thailand dibuka, kawalan keselamatan di sempadan sentiasa dipertingkatkan.

Terdahulu Bangkokpost melaporkan tiga anggota keselamatan Thailand cedera apabila Balai Polis Marin di Tak Bai diserang dengan bom dan tembakan senjata api.

Dalam kejadian kira-kira 9.35 malam itu dianggarkan enam penyerang melontar bom ke balai polis dan melepaskan tembakan dengan senapang automatik.

Mereka yang tercedera dikenali sebagai Sulaiman Yuso, 23, Opas Saenaom, 33, dan Ekawat Ketduang, 41. Kesemua mereka dilaporkan menerima rawatan di Hospital Narathiwat.

Akbar berbahasa Inggeris itu juga melaporkan berlaku kerosakan harta benda awam antaranya tujuh tiang elektrik tumbang dan kerosakan terhadap kenderaan orang awam.