Skip to main
Logo Malaysiakini

MySejahtera ditambah ciri baru bagi tangani cacar monyet

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan bahawa MySejahtera akan diaktifkan semula esok, berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai virus cacar monyet atau ‘monkeypox’.

Khairy, dalam sidang akhbar hari ini, berkata Malaysia akan mengambil pendekatan berjaga-jaga terhadap virus itu.

“Kita mahu memastikan kita meningkatkan keupayaan pemantauan, terutamanya di pintu masuk antarabangsa dan lapangan terbang antarabangsa.

“Kita telah mengarahkan pegawai kesihatan di pintu masuk antarabangsa serta pegawai imigresen untuk memerhatikan gejala cacar monyet dan agar penumpang tersebut dirujuk segera kepada pihak berkuasa kesihatan di lapangan terbang antarabangsa,” katanya.

Kemas kini baru aplikasi itu akan membolehkan makluman dihantar kepada mereka yang melancong dari negara endemik dan negara yang mempunyai kes cacar monyet.

“Mulai esok, aplikasi MySejahtera akan dikemas kini supaya penumpang yang datang dari negara endemik cacar monyet dan juga dari negara yang bukan endemik cacar monyet tetapi terdapat kes yang dilaporkan, akan menerima pemberitahuan supaya mereka maklum dan mereka akan memantau gejala selama 21 hari,” kata Khairy yang menjelaskan bahawa tempoh inkubasi virus itu adalah selama 21 hari.

Awal bulan ini, Khairy mengumumkan kemas kini terbaru MySejahtera yang termasuk "Penjejak Penyakit Berjangkit".

Dalam ciapan Twitter, Khairy berkata penjejak itu akan membolehkan orang ramai melihat titik panas penyakit berjangkit, seperti penyakit tangan, kaki dan mulut.

Penyakit berjangkit lain yang dipaparkan termasuk rabies, campak dan denggi.

Ciri baru ini menggantikan penjejak titik liputan Covid-19, yang masih boleh dikesan bersama penyakit berjangkit lain.

Khairy sebelum ini berkata aplikasi itu akan terus ditambah baik dengan ciri baru, sejajar dengan fasa peralihan kepada endemik wabak Covid-19 di Malaysia.

Aplikasi MySejahtera pada mulanya diperkenal untuk membantu dalam menguruskan wabak Covid-19 di negara ini.

"Kita meningkatkan keupayaan diagnostik kita. Kapasiti diagnostik kita untuk ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) boleh mengesan cacar monyet.

“Kita akan mengembangkan kapasiti serta keupayaan untuk mendapatkan lebih banyak reagen bagi memastikan kita mempunyai kapasiti untuk menguji cacar monyet menggunakan PCR serta ujian molekul lain,” kata Khairy.

Menurutnya, hospital awam, hospital swasta dan klinik di negara ini telah diarah bersiap sedia untuk pengesanan awal gejala - dengan hospital menyediakan wad pengasingan untuk merawat pesakit cacar monyet.

Khairy berkata, tiada rancangan untuk vaksinasi besar-besaran bagi virus itu buat masa ini.

Sebaliknya, kementerian akan mengambil pendekatan yang lebih bersasar dan sedang menyediakan strategi vaksinasi untuk kontak rapat dan pekerja kesihatan sekiranya berlaku wabak cacar monyet di negara ini.

“Kita sudah biasa dengan protokol untuk penyakit berjangkit - setelah melalui Covid-19 selama dua tahun,” kata Khairy.