Skip to main
Logo Malaysiakini

Patutnya Aziz cari kerusi lebih mencabar, kata Wanita PKR Tambun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PKR Tambun menegaskan mereka tidak akan memberi laluan kepada Ketua Pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari, yang baru-baru ini menyatakan hasratnya untuk bertanding di kerusi parlimen kawasan itu pada PRU akan datang.

Ketua wanitanya Norheizan Sofea Mustafa berkata kerusi parlimen Tambun kini sepatutnya menjadi milik PKR setelah Bersatu meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH).

"Kerusi Tambun ditandingi oleh PKR sejak 2008 cuma ia diberikan kepada Bersatu pada PRU 2018 kerana ketika itu parti berkenaan ada bersama PH.

"Kini mereka tidak lagi bersama PH. Maka, sepatutnya kerusi itu harus diserah semula kepada PKR," katanya kepada Malaysiakini.

Norheizan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Abdul Aziz yang berminat bertanding di Tambun baru-baru ini.

Untuk rekod pada PRU ke-14 lalu PH memenangi kerusi Tambun melalui calonnya Ahmad Faizal Azumu, dengan kelebihan 5,320 undi. Ahmad Faizal merupakan satu-satunya calon Bersatu yang memenangi kerusi di Perak, sama ada di peringkat parlimen, atau DUN.

Ahmad Faizal memenangi kerusi DUN Chenderiang dengan majoriti 39 undi.

Dia kini merupakan timbalan presiden Bersatu.

Sebelum ini, Abdul Aziz yang juga Adun Tebing Tinggi memberitahu Malaysiakini bahawa dia beliau berminat untuk mencabar bekas menteri besar itu di kerusi Parlimen Tambun pada PRU ke-15.

Abdul Aziz ialah pengerusi bersama Sekretariat PH Tambun manakala Norheizan menjadi setiausahanya.

Selain Abdul Aziz, dua lagi pengerusi bersama sekretarian itu ialah Ketua Cabang PKR Tambun merangkap Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad, dan Ketua Amanah Tambun Prof Dr Fakhruldin Hisham.

Norheizan berkata PKR Tambun tidak sesekali rela melepaskan kerusi parlimen Tambun kepada sesiapa khususnya Abdul Aziz yang dianggapnya sering berubah pendirian.

"Selepas kalah di parlimen Sabak Bernam pada PRU ke-13 dia keluar PKR dan menyertai DAP. Ahli PKR Tambun memang mempunyai pandangan negatif terhadapnya.

"Sebagai pemimpin kanan di Perak, Abdul Aziz sepatutnya mencontohi tindakan pemimpin DAP yang lain seperti Liew Chin Tong bertanding di kerusi yang lebih mencabar, bukan mengambil jalan mudah untuk masuk ke parlimen," katanya.