'Undang-undang antilompat parti tak dapat sekat Langkah Sheraton berulang'
Rang undang-undang (RUU) untuk menghalang ahli parlimen daripada lompat parti tidak akan dapat menghalang "Langkah Sheraton" di masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Bercakap dalam sidang media di Putrajaya semalam, Wan Junaidi berkata ia juga tidak terpakai kepada ahli parlimen yang dipecat parti mereka.
Pada masa ini, RUU itu di peringkat jawatankuasa khas parlimen yang diketuainya.
"Amalan tukar gabungan adalah isu utama dalam perbincangan kita dan kita telah mempertimbangkannya sejak Januari.
"Kami putuskan untuk ikut amalan antarabangsa. Di negara lain yang ada undang-undang ini, ia hanya menghalang individu daripada tukar parti. Selain itu, banyak kerajaan gabungan hanya dibentuk setelah pilihan raya.
"Dengan undang-undang antilompat parti, kita cuba merangkumi sebanyak mungkin perkara. Kita bincangkan pelbagai jenis keadaan.
"Tapi konsensus adalah kita tak akan dapat liputi semua aspek. Jika kita cuba sekat banyak perkara, ia tidak demokrati. Asas undang-undng ini adalah kita halang ahli parlimen daripada bertukar parti," katanya seperti dipetik The Star.
Wan Junaidi turut mendedahkan RUU itu hanya akan meminda Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan ada akta baru untuk menangani perkara itu.
Salah satu pindaan melibatkan pemansuhan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang mereka yang letak jawatan sebagai ahli parlimen untuk bertanding dalam tempoh lima tahun.
Katanya lagi, RUU itu tidak akan mewajibkan negeri mewujudkan undang-undang sama tapi mereka boleh berbuat demikian.
Di bawah undang-undang baru, jika penukaran parti berlaku pada tahun ketiga penggal Parlimen, pilihan raya kecil tidak akan dibuat, katanya lagi.
"Jika ada kurang dua tahun untuk habis penggal, jangan lompat. Anda tak akan terima elaun. pilihan raya juga tiada.
"Orang Melayu Sarawak ada berkata: : Buang tangga berhayun kaki. Ini tak dapat, itu tak dapat," katanya lagi.
Wan Junaidi juga menyuarakan keyakinan RUU itu akan diluluskan sebelum PRU15 memandangkan semua parti menyokongnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai