Wanita PBM anggap Zuraida 'Iron Lady'
Wanita Parti Bangsa Malaysia (PBM) menganggap kemasukan Zuraida Kamaruddin ke dalam parti itu akan membawa keuntungan kepada parti dan menganggap ahli parlimen Ampang berkenaan - yang mereka gelar Iron Lady (Wanita Besi) - bukan calang-calang tokoh.
Ketuanya Dr Daroyah Alwi berkata perjuangan Zuraida memperkasa wanita memang tidak boleh disangkal oleh sesiapa dan hingga kini kekal dengan pegangan tersebut.
Katanya Zuraida begitu konsisten mempertahan hak wanita dan mengangkat martabat golongan terbabit termasuk di peringkat antarabangsa.
"Beliau juga merupakan satu-satunya pemimpin wanita Malaysia yang dilantik sebagai duta oleh Women Political Leader (WPL), sebuah yayasan antarabangsa berpusat di Iceland," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Zuraida yang juga bekas ketua Wanita PKR mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu - yang disertai selepas Langkah Sheraton - dan bakal menyertai PBM.
Untuk rekod sebelum ini Zuraida dan Daroyah sama-sama merupakan pemimpin Wanita PKR.
Adun Sementa itu meninggalkan PKR pada 13 Jun 2020.
Kata Daroyah kebolehan dan pengalaman luas Zuraida serta daya intelek tokoh terbabit membuat keputusan membantu mengangkat prestasi kementeriannya.
"Melihat prestasi cemerlang Zuraida dan selaras pendirian PBM menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob beliau wajar memberi pertimbangan sebaiknya untuk mengekalkan jawatan (dalam kabinet) demi memastikan Kementerian Perudahaan Perladangan dan Komoditi terus dipacu unggul mengikut apa yang telah dirancang," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai