Persatuan pelajar kecam arahan tutup mulut dari UUM
Sebuah persatuan pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) menganggap arahan pihak pentadbiran yang melarang mereka membuat sebarang kenyataan mengenai kematian Vinosiny Sivakumar sebagai suatu bentuk intimidasi.
Kata Barisan Pelajar Progesif UUM mereka melihat arahan yang dikeluarkan pihak pentadbiran terbabit adalah cubaan untuk menghalang pihak yang berkenaan menyuarakan kebimbangan mereka.
"Tindakan pihak universiti ini semata-mata ingin melenyapkan suara pelajar dan mengugut mereka supaya yang mempersoalkan kebenaran kes kematian tersebut dengan tindakan tatatertib.
"Kami beranggapan bahawa tindakan ini adalah berlebihan dan melampau kerana ia jelas mengancam kebebasan bersuara serta menghalang pelajar untuk menuntut kebenaran," kata persatuan itu dalam kenyataan hari ini.
Pada 24 Mei lalu Malaysiakini melaporkan kematian Vinosiny di bilik asramanya selepas ia disahkan bapa mangsa, R Sivakumar, 65, yang mendakwa ia ada kaitan dengan renjatan elektrik.
Kata Sivakumar pihak pengurusan UUM menghubunginya kira-kira jam 3 petang pada 21 Mei dan memberitahu pelajar semester keempat itu jatuh dan tidak sedarkan diri.
"Mereka maklumkan secara tidak jelas dan tidak beritahu saya apa yang sebenarnya terjadi.
"Selepas saya tanya jika masih ada petunjuk yang anak saya masih hidup aau tidak, baru mereka beritahu dia telah meninggal dunia," katanya.
Kata Barisan Pelajar Progesif UUM sejak kejadian menimpa Vinosiny itu berlaku pihak universiti lambat bertindak, gagal bersikap telus dan tidak profesional.
Ia kata mereka menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar.
Kata mereka pihak universiti hanya mengumumkan insiden tersebut kepada orang awam dua hari selepas kejadian menimpa Vinosiny berlaku.
"Pihak universiti sepatutnya memberi tumpuan untuk menangani kes tersebut supaya kebenaran dapat diungkapkan dengan segera, bukannya cuba menutup berita yang tidak memihak kepada mereka.
"Berani kerana benar, takut kerana salah. Tidak ada apa yang perlu disembunyikan sekiranya siasatan tersebut dijalankan secara telus dan terbuka.
"Nyawa tidak ternilai, punca kematian dan pihak bertanggungjawab harus dikenal pasti, bukan sahaja bagi menuntut keadilan untuk mendiang Vinosiny, tetapi juga bagi mengelak tragedi sebegini daripada berlaku lagi," kata persatuan itu lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai