Skip to main
Logo Malaysiakini

'Adakah singkir Zuraida dari kabinet ancam majoriti rapuh PM?'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ismail Sabri Yaakob tidak segera menggantikan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi walaupun dia keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Perkara ini menimbulkan spekulasi perdana menteri sedang menimbang dengan teliti kedudukannya yang ‘lemah’.

Ismail Sabri mendapat sokongan 116 ahli parlimen daripada 220 kerusi yang diisi di Dewan Rakyat, termasuk tiga daripada PBM.

Tiga ahli parlimen PBM itu ialah Zuraida, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau Larry Sng.

Tanpa ketiga-tiganya, Ismail Sabri hanya tinggal 113 ahli parlimen.

Terdapat spekulasi lebih ramai ahli parlimen dalam Bersatu boleh mengikuti jejak langkah Zuraida.

Pun begitu, tidak jelas jika Zuraida mendapat sokongan tiga lagi ahli parlimen PBM yang cukup untuk menjejaskan majoriti Ismail Sabri.

Beberapa ahli parlimen Bersatu yang tidak berpuas hati dengan parti itu juga dahulunya berasal dari PKR.

Ini termasuk Ahli Parlimen Saratok Ali Biju, yang menghadapi masa depan politik suram berikutan Bersatu bersetuju dengan GPS yang berpangkalan di Sarawak untuk tidak bertanding di negeri itu.

Ali, yang menang kerusi Saratok atas tiket PKR pada 2018, tidak akan dapat mempertahankan kerusi itu jika perjanjian Bersatu-GPS kekal.

Ahli parlimen bukan Melayu yang berpaling tadah daripada PKR untuk menyertai Bersatu juga tidak mempunyai hak mengundi kerana mereka hanya ahli bersekutu parti itu.

Kekal Zuraida Bersatu marah?

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata Bersatu secara terbuka menyatakan hasratnya supaya calon parti itu menjadi pengganti jawatan menteri Zuraida namun keengganan Ismail Sabri segera memberi komitmen menunjukkan ia masih belum ditetapkan.

"Jawatan kabinet Zuraida akan menjadi subjek percaturan dan rundingan politik baru untuk memastikan Ismail Sabri tidak akan menjadi perdana menteri paling singkat memegang jawatan itu ketika rakyat Malaysia biasa mengalami tekanan ekonomi baru," katanya pada satu kenyataan.

Ismail Sabri berkata dia hanya akan membuat keputusan selepas dia bertemu dengan Zuraida sebaik pulang dari Jepun.

Jika perdana menteri mengekalkan Zuraida, ia berkemungkinan akan menimbulkan kemarahan Bersatu yang juga mampu mengancam majoriti Ismail Sabri.

Bagaimanapun, Ismail Sabri akan mempunyai masa sehingga penghujung Julai berikutan perjanjian MOU dengan Pakatan Harapan.

Pakatan pembangkang PH bersetuju untuk tidak mengancam kesinambungan kerajaan Ismail Sabri sebagai pertukaran untuk pelaksanaan reformasi. Perjanjian itu tamat pada akhir bulan Julai.

Lim berkata percaturan itu sekali lagi akan mengalih perhatian negara daripada isu-isu utama.

“Turut membimbangkan rakyat Malaysia ialah berapa ramai menteri berada di dalam negara ini dan bukannya merayau di seluruh dunia susulan pembukaan selepas lebih dua tahun wabak Covid-19 di dunia,” katanya.

[Baca berita asal]